VESPA GTS Super 300janji tunggangan menyeronokkan.
Mohd Razlan Salleh
mrazlan@hmetro.com.my

KALI pertama menungggang uji Vespa, ada aura yang menarik minat penulis untuk terus ‘jatuh cinta’ dengan motosikal berperwatakan klasik berasal dari Itali ini.

Unit tunggang uji kali ini adalah daripada model GTS Super 300 dengan warna baharu Merah Matt.

Sejarah ringkas mengenai jenama ini, Vespa yang membawa maksud 'penyengat' dalam bahasa Itali dan dibina oleh Piaggio pada 1964.

Bagi pasaran tempatan, beberapa model diperkenalkan antaranya Primavera, PX, Sprint dan GTS dengan kapasiti enjin berbeza.


ENJIN Quasar 273cc buatan Itali.

Vespa GTS Super 300 adalah yang paling berkuasa dalam keluarga Vespa berbanding varian ini berkapasiti 150cc.

Menggunakan enjin Quasar 273cc silinder tunggal dengan janaan kuasa sebanyak 15.6kW pada 7,750 rpm dan 22 Nm tork pada 5,000 rpm, model ini jelas sangat mengujakan.

Tambahan ciri lain seperti sistem kawalan cengkaman (ASR) dan juga Sistem Brek Anti Kunci (ABS) adalah pelengkap kepada sebuah skuter sempurna.

Tidak dinafikan penerimaan orang ramai terhadap motosikal automatik atau skuter semakin positif.


PENYERAP hentak tunggal pada roda hadapan.

Lihat sahaja semakin banyak pengeluar motosikal global membina model skuter dengan ciri tersendiri.

Namun, apa yang membuatkan Vespa kekal diminati adalah rekaannya yang masih mengekalkan bentuk klasik.

Bagaimanapun, Vespa GTS Super 300 berbeza dengan susuk tubuh lebih besar berbanding varian lain.

Maklum balas pendikit dengan daya tujah pantas memudahkan penunggang untuk mengagak kuasa diperlukan ketika memintas atau memecut di jalan raya.

Kedudukan pelana juga sesuai untuk mereka bertubuh tinggi sebagai pengangkutan berulang alik ke tempat kerja atau bersantai pada hujung minggu.


RUANG barang hadapan.

Cuma sedikit kekurangan yang penulis sedari adalah ruang barang bawah tempat duduk yang terhad, cukup hanya untuk menyimpan barangan kecil.

Bagaimanapun, slot pengecas USB, ciri membuka ruang di tempat duduk dengan satu butang dan alat kawalan jauh dan cangkuk untuk membawa barangan ringan antara kelebihan yang ada pada model ini.

Penampilannya juga lebih segar dengan Lampu Nyalaan Siang (DRL) LED ada, perumah lampu belakang rekaan baru dan ruang kaki yang lebar.

Dijual pada harga bermula RM26,670 atas jalan tanpa GST, model ini kekal menjadi jentera ikonik kepada mereka yang mahukan kelainan.


SIRIP udara di bahagian sisi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Februari 2019 @ 12:30 PM