GAYA adventure Triumph Tiger. FOTO Luqman Hakim Zubir
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my

Jentera dwi kegunaan kini semakin mendapat perhatian pembeli dalam pasaran motosikal berkuasa tinggi tempatan kerana kemampuannya untuk penjelajahan dan melalui laluan lasak.

Antara yang menarik perhatian penulis ialah model 'Adventure' Triumph Tiger 800 XCx yang sempat ditunggang uji baru-baru ini dengan warna hijau Matte Khaki bagi menilai keupayaan dan prestasinya.

Triumph Tiger baharu adalah model dipertingkatkan daripada generasi terdahulu dengan ciri teknologi termaju disesuaikan dengan gaya dan tujuan tunggangan.

Melihat kepada reka bentuk jentera ini tampil dengan ciri teguh, sesuai untuk pengembaraan lasak dalam kelas tersendiri.

Kerangka tiub besi trelis dengan lengan ayun dua bahagian menyerlahkan ciri ketahanan bagi laluan jalan raya biasa dan off-road.


RODA hadapan dan belakang bersaiz 21 dan 17 inci. FOTO Luqman Hakim Zubir

Tangki bahan api 19 liter dengan rekaan disekalikan pada bahagian panel sisi dan pelindung lumpur atas hadapan untuk sentuhan lebih sporty pada motosikal ini.

Lampu hadapan berkembar dengan nyalaan siang (DRL) sangat jelas pada siang dan malam hari dan dengan aksesori lampu kabus yang pasti menambah fokus pencahayaan terutama pada waktu dinihari di kawasan tanah tinggi.

Tampil lasak, cermin pelindung angin tinggi boleh laras memberi keselesaan tambahan pada kelajuan tinggi atau mengharungi keadaan dalam cuaca hujan untuk perlindungan tambahan.


LAMPU hadapan dan cermin pelindung angin. FOTO Luqman Hakim Zubir

Bahagian pemegang selebar 805 milimeter (mm) dan pelana yang selesa pada ketinggian 840 hingga 860mm boleh laras menawarkan posisi menunggang ergonomik sama ada secara solo atau membawa penumpang.

Suspensi hadapan terbalik WP 43mm pada travel 220mm dengan pelindung tampil lebih kemas yang boleh dilaras untuk redaman dan lantunan mengikut keadaan permukaan laluan.

Ia dilengkapi brek cakera berkembar terapung Brembo dengan sistem Brek Anti-Kunci (ABS) yang boleh dinyah fungsi pada laluan lasak bagi keupayaan memberhentikan jentera dengan lebih stabil.

Monoshock WP dengan takungan minyak untuk suspensi belakang berserta larasan pra beban bagi disesuaikan dengan berat muatan dan penunggang serta brek cakera tunggal Nissin adalah elemen keselamatan ditawarkan.


SISTEM suspensi belakang WP. FOTO Luqman Hakim Zubir

Menyentuh mengenai pengendalian dan kuasa sememangnya model Tiger 800 XCx ini yang dijana enjin 800cc tiga silinder selari DOHC sejukan cecair menawarkan kuasa dan kemewahan tork.

Sama ada untuk laluan dalam bandar, memecut di lebuh raya atau laluan off-road, kuasa kuda 95 PS pada 9,500 rpm dan tork 79Nm pada 8,050 rpm sentiasa lancar mengalirkan tenaga yang mudah dikawal.

Kotak gear enam kelajuan dengan plat klac basah pelbagai untuk nisbah tukaran gear pertama lebih pendek bagi memberi lebih cengkaman terutama pada laluan lasak.

Kendalian pada selekoh atau meredah laluan tidak rata juga stabil yang mana jentera ini juga sesuai untuk tunggangan harian atau hujung minggu.


POSISI menunggang selesa. FOTO Luqman Hakim Zubir

Untuk muatan tambahan, besi penyangkut untuk kotak beg sisi dan belakang tersedia membolehkan lebih barangan dibawa bagi kemudahan kepada penunggang.

Paling menarik ialah tahap penggunaan bahan api kini dipertingkatkan sebanyak 17 peratus untuk lebih efisien menambah kelegaan pemilik melakukan perjalanan jauh.

Pada paparan meter berwarna TFT 5 inci, pelbagai fungsi dipenuhi maklumat yang diperlukan dalam format digital seperti meter kelajuan, komputer perjalanan, tachometer, kedudukan gear, tahap bahan api, indikasi servis, suhu persekitaran, jam dan mod tunggangan.


PAPARAN meter TFT. FOTO Luqman Hakim Zubir

Lima mod tunggangan ditawarkan iaitu Road, Off-Road, Off-Road Pro, Sport dan Rain bagi disesuaikan dengan tujuan dan kawalan enjin yang bersesuaian.

Fungsi-fungsi ini boleh ditukar dengan mudah melalui punat dan 'joystick' yang terletak pada bahagian pemegang yang juga memiliki ciri pemanas tangan, sesuai digunakan ketika cuaca sejuk.

Roda hadapan bersaiz 21 inci dan belakang 17 inci sesuai untuk melepasi laluan berhalangan dan ia juga dilengkapi fungsi pelayaran automatik (auto cruise) bagi merehatkan lengan daripada memulas pendikit.


PUNAT dan 'joystick' untuk menukar ciri dan fungsi. FOTO Luqman Hakim Zubir

Secara keseluruhan Triumph Tiger 800 XCx adalah motosikal dengan ciri dwi kegunaan tampil premium buat mereka yang gemarkan gaya tunggangan berkonsep pengembaraan.

Soket sambungan USB berkuasa 12 voltan memberi kemudahan untuk pemasangan alat peranti Pengesan Kedudukan Global (GPS) atau mengecas telefon pintar terletak di sebelah kunci penghidup.

Sesuai untuk kegunaan santai dan penjelajahan dengan prestasi enjin yang menawarkan kelancaran berterusan termasuk laluan off-road dengan ciri keselamatan seperti kawalan cengkaman, brek cakera dan sistem Brek Anti-Kunci (ABS).

Pelindung aluminium enjin dan besi pelindung kerangka untuk tujuan laluan lasak dan sistem eksoz pada kedudukan meninggi sesuai untuk meredah laluan berair atau banjir kilat di tengah kota.


PANEL sisi separa tampil sporty. FOTO Luqman Hakim Zubir

Reka bentuk lasak dengan kerangka besi dan panel sisi separa menyerlahkan model ini sebagai sebuah motosikal dwi kegunaan sejati sesuai buat para penunggang berjiwa 'kental'.

Paling menarik tenaga yang dibekalkan pada enjin tiga silinder memberikan kepuasan tunggangan di lebuh raya atau off-road serta kelancaran pada sebarang kelajuan.

Walaupun ia bersifat lasak, melayan selekoh di jalan raya juga seronok untuk dilakukan dengan nisbah gear yang bersesuaian serta berat jentera pada 205 kilogram (kg) untuk pengendalian lebih mudah.

Untuk pasaran Malaysia, Triumph Tiger 800 XCx dijual pada harga RM75,900 dengan dua tahun jaminan pengeluar tanpa had perbatuan serta ada empat pilihan warna iaitu putih kristal, hitam jet, biru Lucerne dan hijau Matte Khaki.


SISTEM ekzos dan lampu belakang LED. FOTO Luqman Hakim Zubir

TRIUMPH TIGER 800 XCX

• ENJIN: 800cc tigasilinder selari DOHC

• KUASA MAKSIMUM: 95 PS pada 9,500 rpm

• TORK MAKSIMUM: 79Nm pada 8,050 rpm

• KAPASITI PETROL: 19 liter

• CIRI KESELAMATAN:Kawalan cengkaman, brek cakera dan sistem Brek Anti-Kunci(ABS).

• HARGA: RM75,900 (atas jalan tanpa insurans)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Februari 2019 @ 7:04 AM