MODEL baharu Iriz.
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my


PERUSAHAAN Otomobil Nasional Sdn Bhd (Proton) hari ini mengedarkan foto rasmi model Proton Iriz baharu yang dipertingkatkan bakal dilancarkan tidak lama lagi.

Iriz adalah model ‘hatchback’ dalam segmen-B, juga yang pertama menerima sentuhan rekaan hasil kerjasama Proton dan Geely.

Rekaan luarannya kini menggambarkan gaya ‘sporty’ yang juga memiliki elemen persamaan dengan model mereka yang lain.

Pada bahagian lampu hadapan, ia lebih nipis yang disertakan dengan gril yang menonjol dengan bentuk yang diinspirasikan daripada busur panah turut juga terdapat pada Proton X70.

Gril radiator dengan corak “Infinite Weave” sebagai identiti korporat yang diketengahkan untuk model keluaran Proton pada masa akan datang juga terdapat pada Iriz baharu ini.

Bampar hadapan lebih besar dengan bentuk gril radiator rendah serta lampu nyalaan siang (DRL) menambah kemodenan pada rekaan.

Bahagian belakang Iriz menerima ciri identiti baharu dengan nama Proton menggantikan logo digunakan pada model sebelum ini yang kini juga dipadankan bampar baru dalam bingkai menegak kelihatan lebih stabil dan sporty.

Sebagaimana hadapan, bahagian belakang menerima kemasan yang menyeluruh dengan reka bentuk nama Iriz juga diberi sentuhan baru, termasuk antena radio sirip jerung dan rim aloi baru bercorak bilah kipas.

Untuk bahagian dalaman, Proton Iriz dilengkapi skrin sesentuh berwarna dibangunkan oleh Proton dan Ecarx menawarkan opsyen ketersambungan aplikasi serta fungsi arahan suara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Februari 2019 @ 8:26 PM