KETUA Pegawai Eksekutif Mitsubishi Motor, Tomoyuki Shinnishi (dua kanan) bersama Ketua Pegawai Operasi, Ilham Helmi (dua kiri) pada majlis pelancaran Mitsubishi Triton. FOTO Zunnur Al Shafiq
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my


MITSUBISHI Motors Malaysia Sdn Bhd (MMM) sebagai pengedar utama kenderaan jenama Mitsubishi di negara ini melancarkan model trak pikap Triton baharu di Petaling Jaya, hari ini.

Lima varian ditawarkan untuk model 2019 ini yang diberi pembaharuan daripada segi rekaan luaran dan dalaman serta mengekalkan enjin 2.4 liter MIVEC turbo diesel menyalurkan kuasa kuda 181 PS dan daya tork 430Nm.

Triton baru juga kini dengan kotak gear transmisi 6 kelajuan automatik serta dilengkapi dengan Super Select 4WD II untuk kawalan dan cengkaman lebih mantap dengan pilihan mod off-road (Gravel, Mud, Sand dan Rock) serta fungsi Kawalan Menuruni Bukit.

Rekaan hadapan dengan konsep Dynamic Shield ciri signatur terkini untuk Mitsubishi termasuk lampu hadapan lebih nipis dengan lampu nyalaan siang (DRL), lampu kabus dan membelok pada sebelah tepi tampil menarik.

Untuk ruang dalaman dengan penyaman udara khusus untuk penumpang belakang adalah yang pertama dalam kelasnya serta ruang simpanan telefon pintar dan pengecas USB untuk keselesaan sepanjang perjalanan.

Ciri keselamatan termaju turut ditawarkan seperti Pengurangan Pelanggaran hadapan (FCM), Amaran Titik Buta dengan Bantu Tukar Laluan (BSW dengan LCA), tujuh beg udara, Amaran Trafik Melintas Belakang (RCTA), Sistem Pengurangan Terlepas Pecutan Ultrasonic (UMS) dan Pancaran Tinggi Automatik (AHB).


MITSUBISHI Triton. FOTO Zunnur Al Shafiq

Empat warna ditawarkan iaitu Putih Berlian, Hitam Jet, Perak Sterling dan Kelabu Graphite Metalik bergantung kepada varian.

Untuk pasaran Malaysia Triton baharu dijual pada harga RM135,200 (Triton Adventure X), RM118,600 (Triton AT Premium), RM112,500 (Triton MT Premium), Triton AT (RM105,990) dan RM100,200 (Triton MT).

Semua model adalah import sepenuhnya (CBU) dari Thailand dengan 5 tahun waranti atau 200,000 kilometer (km) yang mana lebih dahulu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 January 2019 @ 12:46 PM