KTM Duke 200 terbaru.
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my


Seiring dengan imej lasak dan ranggi, motosikal jenama KTM sememangnya terkenal sebagai jentera yang menawarkan prestasi buat mereka yang gemarkan kepuasan tunggangan.

Sebagai pengedar utama jenama itu di negara ini Eurotech Wheel Distribution Sdn Bhd bakal memperkenalkan beberapa barisan model baru ke dalam pasaran untuk 2019.

Pengurus Pemasarannya Jun Chia berkata model-model yang ditawarkan bukan sahaja memberi nilai tambah pada aksesori malah harga yang kompetetif untuk memberi lebih peluang kepada ramai pembeli baru memilikinya.

“KTM adalah jentera yang menawarkan ketangkasan enjin serta tahan lasak sesuai untuk pelbagai kegunaan dengan reka bentuk yang agresif dan menarik,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Untuk golongan muda antara yang terdapat di dalam pasaran ialah KTM Duke 200 baru sebagai model permulaan kepada yang ingin menaiktaraf daripada motosikal moped atau skuter ke berkuasa lebih tinggi.

Model ‘naked’ yang diperkenalkan ke dalam pasaran tempatan sejak 2012 itu mengekalkan enjin 200cc, disasarkan kepada golongan usia di antara usia 20 hingga 35 tahun.

Kini dengan model baru ia diberi sentuhan corak grafik terkini serta penambahbaikan pada prestasi enjin antara ciri yang diperkenalkan.

Sebagai model paling laris untuk jenama KTM di negara ini dengan terjual lebih 2,000 unit tahun lalu Duke 200 kini ditawarkan pada harga RM11,888 (atas jalan tanpa insurans).

Selain motosikal street naked, turut ditawarkan ialah KTM 1050 Adventure terbaru sebagai jentera dwi-kegunaan berprestasi buat dengan reka bentuk maskulin.


Model KTM 1050 Adventure.

Model yang bersesaran 1,050cc ini memasuki pasaran tempatan sekitar 2015 dengan import sepenuhnya (CBU) sebelum model pemasangan tempatan (CKD) diperkenalkan pada 2016.

Sebagai model permulaan segmen Adventure untuk KTM , model ini menjana kuasa kuda 95hp dan daya kilas 107Nm dengan tiga mod tunggangan iaitu Street, Sport dan Rain.

Model dengan berat sekitar 212 kilogram (kg) itu mampu bergerak sejauh 300 kilometer (km) dengan satu tangki penuh bahan api 23 liter kini didatangkan tambahan sembilan aksesori tulen PowerParts KTM.

Antaranya ialah besi pelindung enjin, set peti penjelajahan, kit Floating Case Carrier, peredam besi pemegang progresif, fork hadapan perekat WP, kit Blinker LED, skrin pelindung angin rendah EU, cermin sisi dan set perekat rim.

Untuk menambah kepelbagai varian, pengedar sah KTM di negara ini mengambil inisiatif memperkenalkan dua varian tambahan iaitu Special Edition dan Rimba Champ dengan perbezaan pada corak grafik pada bahagian sisi.

Untuk Rimba Champ pula didatangkan dengan tambahan mod tunggangan Offroad menjadikan empat kesemuanya berbanding hanya tiga untuk model Standard dan Special Edition.

KTM 1050 Adventure dijual pada harga RM68,888 untuk Standard manakala Special Edition dan edisi Rimba Champ pada RM74,888 dengan semua motosikal KTM didatangkan bersama dua tahun waranti pengeluar tanpa had perbatuan ditawarkan.

Kini terdapat lebih 40 pusat jualan dan servis KTM di negara ini yang turut menawarkan pilihan aksesori alat ganti PowerParts dan PowerWear bagi barangan gaya hidup.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 January 2019 @ 7:08 AM