TUNGGANGAN di lebuh raya dan desa. FOTO NSTP
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my

JENTERA Ducati Multistrada 950 adalah model motosikal berkuasa tinggi dwiguna menjanjikan keseronokan tunggangan dan kemantapan prestasi terutama ketika perjalanan jauh.

Matlamat berkongsi pengalaman lebih dekat bersama jentera ini, pengedar rasmi Ducati tempatan, Next Bike, mengadakan sesi tunggang uji untuk media, baru-baru ini.

Seramai tujuh ahli media, dengan diiringi tiga tenaga pengajar Ducati Riding Experience selaku marsyal, memulakan konvoi dari Pusat Pameran Ducati Petaling Jaya,Selangor ke Cameron Highlands, Pahang.

Melalui Bentong dan Raub, program tunggang uji itu dilepaskan Ketua Bahagian Dua Roda Kumpulan Automotif Naza Corporation Holdings, Nazman Yusof.

Laluan konvoi menyusuri lebuh raya Kerinchi Link dan Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT) serta Lebuhraya Duta-Ulu Klang (DUKE) sebelum memasuki Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak untuk ke destinasi pertama.


JENTERA dwiguna Ducati. FOTO NSTP

Laluan berkenaan dipilih kerana banyak selekoh dan kawasan berbukit bagi menguji keupayaan Multistrada 950 terutama kendaliannya.

Meskipun memulakan perjalanan di dalam bandar dan perlu menempuh kesesakan jalan raya, Multistrada 950 mudah melepasinya kerana posisi menunggang yang selesa serta pandangan hadapan lebih jelas.

Kedudukan tempat duduk 840 milimeter (mm) dari tanah sesuai buat penunggang memiliki ketinggian jasmani sekurang-kurangnya 175 sentimeter (sm).

Enjin 937cc silinder berkembar L Ducati Testastretta 11∫ dengan injap Desmodromic menjanjikan kelincahan berikutan tujahan 113 kuasa kuda (hp) pada 9,000 rpm dan daya kilas 96Nm pada 7,750 rpm.

Memintas kenderaan mudah dilakukan termasuk ketika melayan selekoh, kelancaran enjin dan berat motosikal sekitar 204 kilogram (kg) berupakan keseimbangan ideal.

Kotak gear enam kelajuan membolehkan pecutan pada pelbagai kelajuan melalui Ducati QuickShift (DQS) untuk gear boleh ditukar tanpa perlu menarik klac.


METER LCD papar aneka maklumat. FOTO NSTP

Klac basah hidraulik dengan larasan boleh ubah membantu memudahkan penunggang melakukan pertukaran gear terutama ketika menyusuri kesesakan dan laluan kampung di Raub dan Sungai Koyan.

Meskipun tampil umpama gaya urban, Mutistrada 950 juga boleh melalui jalan lasak kerana dibina dengan kerangka Trellis yang kukuh dengan tiub berdiameter besar dan subframes kejuruteraan gentian plastik.

Tayar hadapan bersaiz 19 inci dan 17 di belakang daripada Pirelli Scorpion Trail II membolehkan jentera stabil ketika melepasi laluan ladang kelapa sawit yang berbatu serta lumpur sederhana untuk ke lokasi makan tengah hari di Yes Orchard, Raub.

Selepas menempuh perjalanan lebih 114 kilometer (km), konvoi bergerak dari Sungai Koyan ke Ringlet di Cameron Highlands bagi jarak 165km lagi dan jentera diuji ke tahap paling maksimum di selekoh tajam.

Diperkenalkan ke pasaran tempatan sekitar 2017, Multistrada 950 menjanjikan pengendalian terbaik dilengkapi sistem fork hadapan dan belakang.


SISTEM supensi monoshock boleh laras. FOTO NSTP

Lengan hayun belakang aluminium serta monoshock boleh laras untuk disesuaikan dengan bebanan dan permukaan jalan menambah kemantapan perjalanan.

Malah kedudukan posisi menunggang menegak bukan saja selesa malah memberi keyakinan untuk mengharungi pelbagai permukaan jalan terutama ketika mendaki di Cameron Highlands.

Skrin hadang angin boleh laras memberi tambahan keselesaan menunggang pada kelajuan tinggi dan hujan.

Ia juga didatangkan dengan besi meletak barangan di bahagian belakang dan tepi untuk pemasangan aksesori tambahan seperti kotak barangan.

Secara keseluruhan, Multistrada 950 ialah motosikal menjanjikan prestasi, gaya dan keselesaan kepada mereka yang tercari-cari jentera untuk perjalanan jarak jauh.

Malah penggunaan bahan api juga efisien dengan tangki penuh 20 liter, ia mampu bergerak lebih 300 kilometer pada pelbagai kelajuan dan permukaan jalan.


ENJIN 937cc bertenaga. FOTO NSTP

Empat mod bagi disesuaikan dengan gaya tunggangan iaitu Sport, Touring, Urban dan Enduro dengan perbezaan hemburan tork dapat dirasakan.

Ciri keselamatan seperti Brek Anti Kunci (ABS), brek cakera hadapan dan belakang dengan angkup Brembo, ABS Selekoh Bosch, Kawalan Cengkaman Ducati (DTC), Kawalan Kekal Kenderaan (VHC) ketika pendakian menambah keyakinan menunggang.

Keupayaan enjin dan casis untuk jalan raya atau lasak menjadikannya motosikal serba boleh dengan rekaan menarik serta penampilan maskulin.

Panel meter LCD memaparkan aneka maklumat perjalanan seperti kelajuan, rpm, baki penggunaan bahan api, kedudukan gear, suhu dan mod tunggangan dapat dilaras dengan mudah.

Pendikit Ride-by Wire memberikan kawalan menyeluruh secara elektronik untuk sistem yang adap pada model ini antara kelebihan dan kemudahan bagi penunggang.

Perjalanan pulang melalui laluan Simpang Pulai sebelum memasuki Lebuhraya Utara Selatan dari Gopeng, Perak ke Petaling Jaya dengan kelajuan sekitar 160 kilometer sejam (km/j) berjalan lancar.

Untuk pasaran tempatan, Ducati Multistrada 950 dijual pada harga asas RM76,000 (tanpa insurans) dengan waranti dua tahun tanpa had perbatuan.


GAYA elegan jentera Eropah. FOTO NSTP

Ducati Multistrada 950

• ENJIN: 937cc silinder berkembar-L Ducati Testastretta 11∫

• KUASA MAKSIMUM: 113hp @ 9,000 rpm

• TORK MAKSIMUM: 96Nm @ 7,750 rpm.

• KAPASITI TANGKI petrol: 20 liter

• CIRI KESELAMATAN: ABS, Brek Brembo, ABS Selekoh Bosch, DTC, VHC

• HARGA: RM76,000 (tanpa insurans)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 January 2019 @ 8:48 AM