LEXUS ES tampil maskulin. FOTO Syarafiq Abd Samad
Mohd Razlan Salleh
mrazlan@hmetro.com.my

Kebiasaannya jentera mewah dimonopoli pengeluar automotif Jerman dan Eropah sehingga buatan jenama Asia sedikit tenggelam.

Namun, kehadiran model jenama premium seperti Lexus mampu menggugat penguasaan pengeluar Eropah berikutan rekaan dan teknologi yang melangkaui zaman.

Antara model yang bakal menggegarkan pasaran sedan premium tempatan tahun ini adalah Lexus ES.

Ketika Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2018, Lexus memperlihatkan model ES generasi ketujuh yang bakal dibawa masuk ke pasaran tempatan tahun ini.

Hadir dengan pakej dianggap sempurna bagi sebuah sedan, ES mencerminkan rekaan masa depan Lexus yang dinamik.

Sudah pasti rekaan gril hadapan Spindle menjadi identiti Lexus sebagai tarikan utama selain padanan enjin 2.5L berkuasa bersama transmisi automatik Direct Shift lapan kelajuan pertama untuk model Lexus.

Enjin empat silinder Direct Injection Dynamic Force mampu menghasilkan 204 kuasa kuda (hp) pada 6,600 rpm manakala tork maksimum 243 Nm pada 4,000 hingga 5,000 rpm.

Seperti kebiasaan model Lexus, bahagian luaran sentiasa menjadi perhatian dengan rekaan yang sporty dengan garis kontur berbentuk tajam dan tirus.

Dibina atas platform Global Architecture-K (GA-K), antara platform Toyota New Global Architecture (TNGA) bagi jenama Lexus, menjadikan jentera ini lebih stabil kerana titik graviti rendah berbanding sedan lain.

Pada bahagian depan, gril Spindle yang agresif diapit sepasang perumah lampu utama yang nipis dan tirus, benar-benar memukau mata yang melihat.

Bahagian sisi pula hadir dengan garis kontur yang mencipta satu bentuk maskulin untuk sebuah sedan.

Manakala bahagian belakang disempurnakan dengan perumah lampu berbucu tajam dengan sistem cahaya berbentuk L selain kemasan krom yang panjang.


PERUMAH lampu belakang unik. FOTO Syarafiq Abd Samad

Padanan rim Resonator bersaiz 18 inci adalah pelengkap kepada sedan premium ini.

Menjengah ke ruang dalaman ES, ciri kemewahan jelas terlihat dengan sistem informasi intuitif memaparkan semua parameter pemanduan menerusi satu paparan EMV bersaiz 12.3 inci bersambung bersama Sistem Lexus Remote Touch dan odometer digital TFT tujuh inci.

Antara keistimewaan sedan ini adalah kerusi penumpang belakang yang boleh dicondongkan mengikut keselesaan termasuk boleh mengawal sistem audio, pelindung cahaya matahari dan pendingin hawa melalui butang kawalan pada perehat tangan.


RUANG kokpit serba mewah. FOTO Syarafiq Abd Samad

Padanan suspensi belakang double wishbone dan penyerap pasif selain injap berayun ultra low-velocity memastikan tiada sebarang gegaran dirasai ketika melalui permukaan jalan tidak rata.

Pada aspek keselamatan, Lexus ES dilengkapi pakej bantuan pemandu Lexus Safety System+ seperti brek kecemasan autonomous Pre-Collision System (PCS), Adaptive Cruise Control (ACC), Dynamic Radar Cruise Control dengan Lane Tracing Assist (LTA) yang serba pintar, Lane Departure Alert (LDA), Adaptive High Beam System (AHS), Road Sign Assist (RSA), Parking Support Brake System dan Panoramic View Monitor.


PAPARAN meter digital TFT bersaiz tujuh inci. FOTO Syarafiq Abd Samad

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 January 2019 @ 8:01 AM