KESELURUHAN peserta berpuas hati selepas menamatkan RFC.
Mohd Razlan Salleh
mrazlan@hmetro.com.my

Syarikat minyak Petron Malaysia kembali sebagai penaja bahan api dan minyak enjin rasmi untuk satu daripada 10 acara off-road paling sukar di dunia iaitu Rainforest Challenge (RFC).

Petron membekalkan minyak kepada lebih 150 kenderaan 4x4 disertai 300 penggiat kembara off-road daripada 30 negara yang bersaing dalam hutan hujan tropika di Kota Bharu, Kelantan, baru-baru ini.

Ketua Jabatan Dagangan Runcit Petron Malaysia, Choong Kum Choy berkata, pihaknya berbesar hati terpilih menjadi rakan kongsi liga sukan bermotor ekstrem 4x4 sebagai penaja minyak rasmi untuk tahun ketiga.

PESERTA berhenti untuk mengisi minyak.

“Rainforest Challenge menyerlahkan semangat kesukanan terbaik daripada semua peserta dan tahun ini (2018), kami memperkenalkan minyak enjin Petron Rev-X Engine Oil bagi melengkapkan Turbo Diesel Euro 5 dalam perlumbaan berlegenda ini untuk prestasi dan pembersihan enjin terbaik,” katanya.

Choong berkata, penajaan itu menunjukkan keunggulan produk mereka yang terbukti sebagai minyak terbaik untuk perlumbaan mencabar termasuk perlumbaan off-road dan untuk penggunaan harian pemandu.

GELAGAT peserta ketika berhenti berehat.

Pengasas dan Pengurus Siri Global RFC, Luis JA Wee pula mengakui teruja dengan penyertaan Petron sebagai penaja bahan api dan minyak enjin rasmi bagi menghadapi perlumbaan dalam keadaan sukar sewaktu musim tengkujuh.

“Muka bumi yang basah memerlukan produk tahan lasak bagi memastikan perjalanan lancar.

“Kami melalui sektor off-road terpanjang dalam musim tengkujuh dan minyak enjin Petron berjaya menamatkan perlumbaan ini,” katanya.

PESERTA sebelum pelepasan peringkat akhir RFC.

Petron Turbo Diesel Euro 5 dirumus untuk mempertingkatkan prestasi enjin, memastikan ekonomi bahan api lebih baik dan melanjutkan hayat enjin.

Ia mengandungi kandungan sulfur lebih rendah iaitu 10 bahagian setiap juta dan 50 kali lebih bersih berbanding diesel Euro 2M, mengurangkan pelepasan ekzos dan menahan haba melampau pada sistem suntikan minyak.

Minyak Enjin Petron Rev-X pula melindungi enjin dengan Dynamic Cleaning Technology (DC Tech) yang memastikan enjin bersih untuk perlindungan pakai lebih baik dan operasi lancar.

SEORANG peserta cuba melepasi laluan getir.

Sementara itu, RFC Malaysia adalah acara kemuncak perlumbaan off-road 4x4 dalam Siri RFC Global (RFCGS) yang juga litar perlumbaan off-road di seluruh dunia merangkumi 22 negara dengan 45 acara.

Untuk maklumat tambahan mengenai RFC, sila layari laman web www.rainforest-challenge.com atau Instagram @rainforestchallenge @luisjawee.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 January 2019 @ 6:00 AM