POSISI menunggang ergonomik.
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@nstp.com.my

Motosikal penggembaraan dwikegunaan mempunyai kemampuan tersendiri yang membolehkan ia melalui laluan lasak atau memecut di jalan raya serta hadir dengan rekaan bercirikan maskulin.

Kelebihan itu membuatkan ia menjadi pilihan mereka yang aktif dan mahukan jentera serba guna dan satu model yang terdapat dalam pasaran tempatan ialah Honda CRF1000L Africa Twin diperkenalkan pada April lalu.

Vroom Metro Ahad berpeluang menunggang uji varian tertinggi yang ditawarkan iaitu Adventure Sports dengan padanan warna bersempena edisi ulang tahun ke-30, model yang mula diperkenalkan ke pasaran global pada 1988 itu.

Warna ini diinspirasikan daripada model asalnya iaitu XRV650 yang kemudian digunakan bagi perlumbaan Rali Paris-Dakar pada lewat 1980-an dan melalui model XRV750 ia muncul juara sebanyak empat kali adalah serba sedikit sejarah perkembangan model ini.

Berbalik kepada model Adventure Sport 2018 ini ia mempunyai kelebihan tersendiri daripada model Africa Twin lain meskipun dibina daripada asas kerangka yang sama.

Saiznya yang tinggi serta pengenalan Transmisi Dwi Klac (DCT) pada awalnya membuat penulis menjangkakan sukar untuk mengendalikannya, namun sebaik bergerak dan mula membiasakan dengan pergerakan gear automatik umpama skuter, ia seronok pula untuk ditunggang.

Posisi memegang dengan kedudukan yang tinggi memberi kelebihan buat mereka yang berketinggian 175 sentimeter (sm) ke atas dengan padanan pelana posisi 920 dan 900 milimeter (mm) tambahan sebanyak 30mm daripada varian Africa Twin yang lain.


GAYA lasak dan maskulin.

Menyentuh mengenai reka bentuknya, antara perbezaan lain untuk model ini ialah tangki bahan api yang lebih besar dengan tambahan 5.4 liter menjadi 24.2 liter mampu menjangkau perjalanan lebih 500 kilometer (km).

Ia juga dilengkapi fairing tambahan sisi dan pelindung angin lebih tinggi 80mm, plat pelindung lopak dan besi pelindung kerangka adalah ciri standard.

Selain itu jarak kelegaan bumi 270mm, suspensi travel lebih panjang, soket pengecas dan pendikit dengan pemanas menambah kemudahan dan keselesaan kepada penunggang terutama ketika melakukan perjalanan dalam cuaca sejuk.

Rekaan lasak dipadankan dengan enjin yang bersesaran 998cc silinder berkembar selari dengan Throttle By Wire (TBW) dan mod tunggangan Kawalan Kilas Boleh Dipilih Honda (HSTC) menjana kuasa 95PS pada 7,500 rpm serta daya kilas 99Nm pada 6,000 rpm.

Melalui penggunaan TBW ia membolehkan penunggang mengawal kuasa enjin dan cengkaman tayar belakang bagi memenuhi pelbagai keadaan gaya tunggangan.

Sistem HSTC pula dengan tujuh tahap keadaan perjalanan daripada off-road yang agresif sehingga ke jalan raya basah dan licin boleh dilakukan menambah keyakinan kepada penunggang.

Model yang menggunakan nama CRF sejak 2016 sehingga kini hadir dengan kotak gear automatik dan manual Transmisi Dwi Klac (DCT) untuk kelancaran dan kawalan lebih selesa.

Pertukaran nisbah gear enam kelajuan digerakkan secara automatik ketika kelajuan meningkat dan untuk menurunkan gear dengan pantas terutama melewati selekoh terdapat butang pada sebelah kiri pemegang boleh ditukar.

Perjalanan pada pelbagai kelajuan ternyata selesa dengan gear automatik mod D malah ketika melalui laluan tidak berturap dan off-road tiada kehilangan kuasa dapat dirasakan dan ia menyalurkan tenaga dengan baik.


BESI pelindung ciri standard untuk model ini.

Empat mod tunggangan memberikan pilihan kepada penulis bagi merasai perbezaan kuasa untuk permukaan dan gaya tunggangan iaitu Tour, Urban, Gravel dan User bagi larasan kesesuaian individu.

Untuk pengendalian lebih mantap, suspensi hadapan Showa 45mm dengan fork teleskopik terbalik boleh dilakukan prabeban gaya ‘dial’ hidraulik dan larasan mampatan serta lantunan pada redaman menjadikan tunggangan lebih selesa ketika melalui jalan tidak rata.

Kombinasi lengan ayun belakang aluminium Monoblock dengan Pro-Link dan peredam dicas-gas memastikan kestabilan jentera pada kelajuan atau membawa pembonceng.

Ciri keselamatan yang ditawarkan ialah brek cakera hadapan 310mm dan belakang 256mm dengan Sistem Brek Parkir Jenis Kunci-Tuil untuk DCT.

Ia juga ditambah Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran dengan bahagian belakang boleh dimatikan terutama ketika memasuki kawasan off-road.

Panel paparan meter LCD penuh gaya rali dengan paparan maklumat perjalanan seperti kelajuan, rpm, tahap bahan api, mod tunggangan, kedudukan gear, jam, ABS dan jarak perjalanan sangat membantu dalam merancang ke sesuatu destinasi.


METER LCD untuk maklumat perjalanan.

Secara keseluruhan Honda CRF1000L Africa Twin Adventure Sports ini sebuah jentera sesuai untuk perjalanan jarak jauh ataupun bagi kegunaan harian.

Kelebihan utama dengan DCT yang menawarkan gear enam kelajuan automatik sangat memudahkan kawalan dan pergerakan terutama ketika dalam kawasan bandar.

Untuk memasuki laluan lasak terdapat pilihan mod tunggangan bagi disesuaikan dengan permukaan jalan sesuai untuk penunggang kasual yang mahukan aktiviti pada hujung minggu.

Kerangka daripada jenis ‘cradle’ separa berganda keluli dengan kekuatan berketahanan tinggi bagi menampung daya ketahanan sama ada untuk perjalanan lasak atau di lebuh raya untuk lebih responsif.

Lampu hadapan berkembar melihatkan gaya kelasakan dan sangat jelas pada cuaca gelap dengan lampu belakang dan lampu isyarat daripada LED mudah dilihat dari jauh.

Untuk pasaran Malaysia Africa Twin ABS dijual pada harga RM76,399, Africa Twin ABS+DCT RM82,999, Africa Twin Adventure Sports ABS RM79,699 dan Africa Twin Adventure Sports ABS+DCT RM86,299 (semua harga atas jalan tanpa insurans).

Tiga pilihan warna ditawarkan iaitu Matt Ballistic, Black Metallic dan Grand Prix Red untuk Honda Africa Twin dan Adventure Sports dengan warna Tricolor.


PUNAT pelbagai fungsi.

HONDA AFRICA TWIN ADVENTURE SPORTS

• ENJIN: 998cc DOCH silinder berkembar selari

• KUASA MAKSIMUM: 95PS pada 7,500 rpm

• TORK MAKSIMUM: 99Nm pada 6,000 rpm

• KAPASITI PETROL: 24.2 liter

• CIRI KESELAMATAN: Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran, Sistem Brek Parkir

• HARGA: RM86,299 (atas jalan tanpa insurans)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Disember 2018 @ 6:13 AM