HONDA HR-V RS.
Mohd Razlan Salleh
mrazlan@hmetro.com.my

Tidak menunggu lama selepas mendapat sambutan luar biasa, Honda Malaysia Sdn Bhd (HMSB) mempamerkan varian terkini kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak HR-V RS baharu.

Ini adalah kali pertama model dipertingkatkan itu ditayangkan kepada umum selepas HMSB membuka tempahan untuk model berkenaan sejak Julai lalu.

Difahamkan, lebih 4,100 tempahan sudah diterima melalui 97 pengedar sah HMSB di seluruh negara.

HR-V RS tampil lebih ‘sporty’ dan menarik apabila bahagian luarannya mengetengahkan reka bentuk signatur Honda dikenali sebagai ‘Solid Wing Face’.

Antaranya rekaan semua lampu dipertingkatkan dengan lampu utama, lampu nyalaan siang (DRL), lampu kabus dan kombinasi lampu belakang daripada LED.

Varian HR-V RS hadir dengan rim aloi dwitona bersaiz 18 inci, rekaan gril hadapan lebih garang, selain bampar hadapan dan belakang terkini yang meningkatkan penampilannya.


BAHAGIAN hadapan lebih garang.

Perincian baharu seperti kemasan hendal pintu dan gril krom gelap, padanan warna hitam pada perumah lampu kabus menawarkan pandangan lebih segar terhadap varian ini.

Sebagai tambahan, HR-V RS dikuasakan enjin 1.8L SOHC i-VTEC bersama transmisi automatik Continuous Variable Transmission (CVT) daripada Honda Earth Dreams Technology.

Paduan enjin dan teknologi termaju itu memberi tindak balas prestasi lebih baik dan penjimatan bahan api seimbang.


BAHAGIAN belakang lebih sporty.

Selain itu, model ini juga didatangkan bersama sistem stereng Variable Gear Ratio (VGR) untuk pemanduan lebih ‘sporty’.

Ini membolehkan pemandu mengawal jentera dengan baik ketika berada pada kelajuan bandar dan pemanduan lebih stabil ketika di lebuh raya.

Ruang kabin turut diberi peningkatan dengan rekaan tempat duduk kulit Ivory yang elegan.

Dilengkapi pedal penukar gear (paddle shift), tempat duduk elektrik lapan talaan menjadikan HR-V RS lebih sempurna.

Sementara itu, bahagian kargo boleh laras dengan pelbagai mod konfigurasi menjadikan ruang penyimpanan luas dan praktikal.


RUANG dalaman menarik.

Model ini juga hadir dengan teknologi Honda Lane Watch iaitu sistem kamera dipasang pada cermin sisi memperlihatkan sisi kiri dan titik buta melalui sistem paparan dalam kereta.

Ciri keselamatan standard lain termasuklah enam beg udara, Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS), Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA), Bantuan Mula Mendaki (HSA) dan kamera undur pelbagai sudut.


RIM 18 inci dwitona.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Disember 2018 @ 6:00 AM