Lizam Ridzuan
lizamridzuan@nstp.com.my

Selepas sesi previu media untuk model itu baru-baru ini akhirnya Ford Ranger Raptor secara rasmi dilancarkan untuk pasaran Malaysia oleh pengedar utamanya Sime Darby Auto Connexion (SDAC) bersempena Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS 2018).

Ranger Raptor adalah trak berprestasi untuk laluan lasak dan off-road pada kelajuan tinggi menyerlahkan DNA Ford Perfomance yang terkenal melalui reka bentuk unik serta keupayaan pada pelbagai kelajuan.

Dijana enjin 2.0 liter Bi-Turbo diesel serta dipadankan transmisi automatik 10 kelajuan ia menghasilkan 213PS dan daya kilas sehingga 500Nm.

Raptor juga dilengkapi penyerap hentak Position Sensitive Damping (PSD) yang dihasilkan khas oleh FOX pada roda hadapan dan belakang adalah ciri standard untuk model ini.

Suspensi belakang daripada Watt serba baharu yang inovatif memberikan keseronokan memandu melangkaui teknologi serta inovasi dan dilengkapi Sistem Pengendalian Permukaan Laluan (TMS) dengan enam mod termasuk mod Baja (‘baha’).

Pengarah Urusan SDAC Syed Ahmad Muzri Syed Faiz berkata Ranger Raptor yang menggabungkan karakter ‘Built Ford Tough’ adalah penanda aras untuk trak pikap terutama dari segi keupayaan off-road.

“Segala aspek Ranger Raptor dibina atas elemen kecanggihan dan keupayaan fungsi Ranger luar biasa sebagai antara model paling laris di Malaysia yang akan membantu untuk revolusi pasaran trak pikap tempatan,” katanya ketika pelancaran.

Ford Ranger Raptor dijual pada harga RM199,888 dengan dua warna ditawarkan iaitu Biru Lightning dan Kelabu Conquer yang kini sudah boleh ditempah di KLIMS 2018 atau pengedar Ford di seluruh negara.

Untuk pendaftaran Ranger dan Ranger Raptor sebelum 31 Januari 2019, pembeli akan menerima penyelenggaraan percuma selama dua tahun atau perbatuan sehingga 40,000 kilometer (km).


FORD Ranger Raptor.

Dalam majlis sama yang diadakan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur itu, SDAC turut memperkenalkan Mustang baharu secara eksklusif yang bakal memasuki pasaran tempatan pada tahun hadapan.

Ia diterbangkan khas dari Amerika Syarikat untuk KLIMS 2018 yang diadakan sehingga 2 Disember hadapan, adalah kereta sport paling laris di dunia untuk tempoh tiga tahun berturut-turut.

Sejak eksport global bermula pada 2015, Ford berjaya menjual 418,000 unit Mustang di 146 buah negara di seluruh dunia sehingga Disember 2017.

Mustang hadir dengan dua varian iaitu GT5.0L Automatic Fastback dan 2.3L Ecoboost Automatic Fastback dengan 460 kuasa kuda atau 310 PS serta daya kilas 556Nm dan 447Nm.

Tiada pengumuman harga oleh SDAC setakat ini untuk Mustang baharu yang juga sudah boleh ditempah di KLIMS 2018 serta pengedar sah Ford di seluruh negara.


MUSTANG baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 November 2018 @ 8:04 AM