SANTA Fe serba baharu.
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@nstp.com.my

Tampil dengan rekaan aktif, ruang yang selesa serta ciri keselamatan terkini untuk model kenderaan utiliti sukan (SUV) Hyundai Santa Fe serba baharu yang diperkenalkan ke dalam pasaran tempatan.

Dipamerkan ketika Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 (KLIMS) yang berlangsung hingga 2 Disember, ia kini dengan ciri lebih aerodinamik hadir bersama sentuhan kemewahan dan keteguhan.

Gaya lebih menyerlah dan lasak sebuah SUV ditampilkan terutama pada gril ciri ikonik model jenama Hyundai terkini yang dipisahkan dengan komposit ringan meliputi Lampu Nyalaan Siang (DRL) LED yang diletakkan di atas lampu hadapan dan belakang.


REKAAN lebih aerodinamik.

Santa Fe serba baharu juga diperkemas dengan jarak roda dipanjangkan serta overhang yang pendek melengkapi ciri elegan rekaan dengan lengkungan roda luas untuk elemen keteguhan.

Bampar lebar dengan acuan krom menjadikan model ini tampil berbeza dengan generasi sebelumnya serta peningkatan bahagian ruang dalaman untuk lebih fleksibel.

Terdapat beberapa ciri yang dikekalkan, namun lebih banyak perubahan dan pengenalan ciri termaju pada generasi keempat ini terutama membabitkan aspek keselematan, prestasi, teknologi dan pengalaman terbaik kepada keseluruhan penumpang.

Ciri standard keselamatan yang masih diteruskan ialah enam beg udara, Sistem Pengurusan Kestabilan Kenderaan (VSM), Kawalan Bantu Mula Bukit (HAC), Kawalan Brek Menuruni Bukit (DBC), Brek Parkir Elektrik (EPB) dengan ciri Automatic Vehicel Hold.

Model ini juga dengan pintu belakang pintar, kluster maya LCD TFT 7 inci, paparan maklumat dan hiburan jenis terapung 7 inci dengan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto serta pengecas telefon tanpa wayar.


PINTU belakang pintar.

Paling terbaharu dibangunkan ialah Amaran Penumpang Belakang antara ciri keselamatan terkini yang diberi dengan monitor Amaran Penumpang Belakang melalui pengesan ultrasonic untuk mengesan pergerakan kanak-kanak.

Fungsi ini bagi membantu kanak-kanak atau haiwan peliharaan ditinggalkan dan terlupa untuk keluar yang mana terdapat juga kes yang mereka terkunci dari dalam.

Santa Fe kini ditawarkan dalam dua varian iaitu Executive dan Premium dengan dua tawaran enjin Theta II 2.4 MPI petrol dan transmisi automatik 6 kelajuan serta R2.2 VGT Diesel dengan 8 kelajuan automatik yang pertama untuk model Hyundai di Malaysia.

Bakal memasuki pasaran tempatan pada suku pertama 2019 ia dijual pada harga sekitar RM188,000 ke atas dengan 50,000 kilometer (km) servis percuma selama tiga tahun dan jaminan pengeluar selama lima tahun atau 300,000km (yang mana lebih dahulu).


RUANG dalaman elegan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 November 2018 @ 6:01 AM