MERCEDES-AMG G 63.
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@nstp.com.my

Tampil dengan limpahan prestasi dan kemewahan, tiga model baharu kenderaan utiliti sukan (SUV) daripada Mercedes-Benz kini diperkenalkan untuk pasaran tempatan.

Mercedes-AMG G 63, GLC 63 S 4Matic dan GLC 63 S Coupe 4Matic dilancarkan oleh Mercedes-Benz Malaysia (MBM) dengan berkongsi enjin sama, namun mempunyai karakter berbeza.

Dikuasakan dengan enjin 4.0 liter biturbo V8, model G-Class atau dikenali sebagai Gelaendewagen adalah ikon SUV buat jenama itu yang mula diperkenalkan 40 tahun lalu dengan kemantapan pada laluan ‘off-road’ kini dengan elemen lebih moden.

Ia dibekalkan dengan 585 kuasa kuda (hp) dan daya kilas 850Nm serta kelajuan maksimum 240 kilometer sejam (km/j) yang mampu memecut dari sifar sehingga 100km/j dalam tempoh 4.5 saat.

Dua pengecas turbo di dalam enjin kompak silinder V memberikan kelebihan respons yang spontan dengan ekzos rendah emisi menyalurkan aliran udara yang optimum pada pemangkin enjin.

Lapan silinder memberikan daya tujahan yang padu untuk pelbagai kelajuan yang digabungkan dengan penggunaan bahan api efisien hadir bersama transmisi 9G TCT AMG Speedshift pacuan semua roda 4Matic.

Untuk pemanduan di atas jalan raya mod Dynamic Select boleh dipilih daripada ‘Slippery’, ‘Comfort’, ‘Sport’, ‘Sport+’ dan ‘Individual’ serta opsyen M untuk mod manual dan untuk ‘off-road’ tiga pilihan ditawarkan iaitu ‘Sand’, ‘Trail’ dan ‘Rock’.

Rekaan luaran dengan bayangan bentuk kotak menjadi elemen keunikan AMG G 63 terutama pada bahagian bonet, ensel pintu luar, pemegang pintu teguh, lampu hadapan bulat, jalur perlindungan teguh yang disisipkan warna hitam berkilau dan lambang AMG, tayar simpanan pada bahagian pintu belakang dengan bekas besi dan logo tiga bintang.

Kemantapan rekaan diteruskan pada bahagian hadapan yang menyerlahkan gaya G 63 seperti rekaan gril radiator dan bampar dengan salur masuk udara luas AMG yang diberi kemasan perak serta lampu hadapan LED berprestasi tinggi menggunakan tenaga elektrik rendah untuk kelebihan penggunaan jangka masa panjang.

Bahagian dalaman ciri terkini dengan konsol tengah yang direka semula serta stereng sport pelbagai fungsi, sistem Pemanduan Pintar dengan Pakej Bantu Pemandu, kualiti hiburan dan bunyi daripada Burmester Surround, Pakej Parkir serta Keyless Go.

Kehebatan prestasi juga ditawarkan untuk model GLC 63 dan GLC 63 Coupe dengan kedua-duanya mampu menghamburkan 510 hp dengan tork puncak 700Nm.

Model GLC juga dilengkapi dengan transmisi sembilan kelajuan MCT Speedshift AMG dengan dua pengecas turbo ia mampu memecut dari sifar ke 100km/j dalam tempoh 3.8 saat serta kelajuan maksimum mencecah 270km/j.


MERCEDES-Benz GLC 63 S Coupe yang mengancam.

SUV premium saiz pertengahan ini juga didatangkan dengan empat mod pemanduan AMG Dynamic Select iaitu ‘Comfort’, ‘Sport’, ‘Sport Plus’ dan ‘Individual’ dengan ciri suspensi AMG Sports bersama ‘Air Body Control’ dan penyerap boleh laras adaptif.

Ia ditambah dengan Prestasi AMG 4Matic+ pacuan semua roda dengan penyaluran daya tujahan penuh dan pada gandar belakang dengan perbezaan gelinciran terhad serta sistem brek prestasi tinggi untuk kawalan menyeluruh bagi pemanduan dinamik.

Bahagian luaran menyerlahkan lagi ciri Prestasi Mercedes-AMG dengan gril Panamericana yang khusus dipasang pada kereta sport daripada mdel AMG GT, pelantar hadapan lebar diinspirasikan daripada sayap jet serta ‘spitter’ besar menyerlahkan gaya baharunya.

Pengagihan ruang gril yang kemas memberikan teknologi sejukan gaya baharu yang diketengahkan daripada sukan permotoran juga membezakan ia daripada model GLC yang lain.

Pakej AMG Night menambahkan gaya perlumbaan dengan ciri warna hitam berkilau pada roda AMG 21 inci dan pada bahagian dalaman kerusi sport kulit Nappa dan Artico pada papan pemuka serta tali pinggang keledar warna merah membuatkan ia tampil premium.

Hadir ketika pelancaran ialah Naib Presiden Jualan dan Pemasaran MBM, Mark Raine yang mengumumkan untuk pasaran Malaysia Mercedes-AMG GLC 63 S dijual pada harga RM915,888, Mercedes-AMG GLC 63 S Coupe (RM933,888) dan Mercedes-AMG G 63 (RM1.46 juta).


RUANG dalaman moden.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 November 2018 @ 9:01 AM