TERBUKTI dalam laluan lasak.
Mohd Razlan Salleh
mrazlan@nstp.com.my

Ford Motor Company dan rakan pengedar tempatannya Sime Darby Auto Connexion (SDAC) melancarkan Ford Ranger baharu menggabungkan teknologi, ciri keselamatan dan kemudahan mendahului kelasnya.

Ranger baharu ‘Built Ford Tough’ dibina dengan keupayaan mengharung laluan lasak yang sememangnya memenuhi keperluan tugas dan gaya hidup pengguna lebih luas.

Sebanyak sembilan varian berbeza ditawarkan iaitu XL, XLT, XLT+, Wildtrak baharu dan varian tertinggi Ranger Raptor.

Bagaimanapun, Raptor akan dilancarkan secara rasmi ketika Kuala Lumpur International Motor Show (KLIM) 2018, bulan ini.

Ford Ranger menawarkan tiga rangkaian kuasa diesel untuk lebih versatil dan memenuhi keperluan pelanggan berbeza seperti 2.0L Single-Turbo, 2.0L Bi-Turbo dan Duratorq 2.2L.


MAMPU mengharungi air.

Enjin diesel 2.0L Bi-Turbo generasi baharu dipasang secara eksklusif pada varian Wildtrak 4x4, dipadankan bersama transmisi automatik 10 kelajuan untuk menawarkan kuasa tork, fleksibiliti, senyap dan pemanduan lebih selesa.

Dengan kuasa tork maksimum 500Nm pada 1,750rpm, enjin Bi-Turbo menawarkan julat tork lebih baik menerusi kotak gear 10 kelajuan nisbah pendek.

Model ini juga berupaya mengangkut beban dan menunda sehingga 3,500 kilogram, terbaik dalam kelasnya.


RUANG kabin kemas.

Sementara itu, enjin turbo tunggal 2.0L boleh didapati pada varian Wildtrak 4x2 dan Ranger XLT+ baharu dengan transmisi automatik 10 kelajuan menawarkan kuasa maksimum 180PS dan tork 420Nm.

Varian XL dan XLT menggunakan enjin turbodiesel 2.2L menawarkan kuasa maksimum 160PS manakala 385Nm untuk daya kilas dan dipadankan bersama transmisi manual atau automatik enam kelajuan.

Antara ciri terbaharu diperkenalkan ialah Bantuan Pra Pelanggaran Ford menggunakan Sistem Brek Kecemasan Autonomi Inter Urban dengan Pengesan Kenderaan dan Pejalan Kaki yang berfungsi pada kelajuan 3.6 kilometer sejam (km/j) ke atas.


TRANSMISI 10 kelajuan.

Amaran dan Bantuan Keluar Laluan, Kawalan Meluncur Bolehsuai dan Amaran Pelanggaran Depan turut ditawarkan pada Ranger baharu manakala Parkir Selari Separa Automatik pertama dalam segmennya boleh didapati pada varian Wildtrak 4x4.

Varian Wildtrak dan XLT+ turut memperkenalkan ciri Pengangkat Pintu But yang pertama dalam kelas pikap.

Rekaan luaran lebih segar apabila tampil dengan rekaan gril baharu, lampu nyalaan siang (DRL) LED dan lampu utama jenis HID.

Ranger XLT menerima kemasan krom dan kemasan Monument pada Ranger Wildtrak selain warna baharu Oren Saber.


PAPAN pemuka menarik.

Ruang dalaman turut dipertingkatkan dengan sistem maklumat SYNC 3 bersaiz lapan inci pada varian Ranger XLT+ dan Wildtrak yang serasi dengan Apple CarPlay dan Android Auto.

Varian Ranger baharu ditawarkan pada harga bermula RM90,888 untuk XL, RM109,888 (XLT), RM124,888 (XLT+) dan RM134,888 (Wildtrak).

Sebagai tawaran terawal sehingga 31 Disember, seramai 888 pelanggan pertama yang mendaftarkan Ford Ranger baharu bakal menerima baucar barangan elektrik bernilai RM1,000.


ENJIN Bi-Turbo berkuasa dalam kelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 November 2018 @ 2:58 AM