REKAAN bergaya.
Mohd Razlan Salleh
mrazlan@nstp.com.my

Ketika ini, banyak pengeluar motosikal menjenamakan semula model retro bertujuan mengembalikan kegemilangan jentera legenda mereka untuk generasi baharu.

Tidak kira Honda, Yamaha, Kawasaki atau Suzuki, pasti ada ‘motosikal legenda’ yang kekal dalam ingatan penunggang veteran.

Salah daripanya ialah siri CB daripada Honda dan penulis berpeluang menunggang uji motosikal ini sejurus pelancarannya bagi pasaran tempatan.

Terdahulu, Boon Siew Honda (BSH) melancarkan dua model CB serentak iaitu CB1000R dan CB250R.

Oleh kerana unit tunggang uji model CB1000R masih ‘sibuk’, BSH mempelawa penulis untuk menunggang uji model CB250R dahulu.

Sebaik menerima motosikal daripada BSH, penulis tidak membuang masa memulas pendikit menguji keistimewaan jentera ini.

Berdasarkan pandangan penulis, reka bentuk model ini sangat kemas dan cantik walaupun hadir dengan imej retro.


REKAAN ekzos bergaya.

Antaranya lampu hadapan bulat dan kedudukan pelana yang kecil, sesuai dengan imej retro dibawanya.

Kini model CB kelas pertengahan ini hadir dengan gaya ‘sport naked’ yang sesuai untuk tunggangan santai hujung minggu atau pengangkutan harian ke tempat kerja.

Model ini digerakkan enjin satu silinder 250cc DOHC sistem suntikan PGM-FI dengan sejukan cecair, dipadankan bersama transmisi enam kelajuan.


LAMPU hadapan berteknologi LED.

Nadi ini berupaya menghasilkan 27 kuasa kuda (hp) pada 9,000 rpm dengan daya kilas 23.3Nm pada 8,000 rpm.

Oleh kerana jentera ini hanya seberat 145 kilogram (kg), tidak menjadi masalah bagi penulis mengawalnya terutama ketika mengharungi kesesakan jalan di ibu kota.

Sepanjang tunggang uji, penulis sempat memacu jentera ini ke Genting Hinghlands dan dengan kuasa yang ada, CB250R tiada masalah untuk ke puncak dan melayani selekoh sepanjang Lebuhraya Karak.


ENJIN 249cc terbaik.

Kestabilan jentera banyak dibantu suspensi hadapan teleskop USD 41 milimeter (mm) manakala unit monoshock dengan pelarasan prabeban di bahagian belakang menjalankan tugasnya dengan baik.

Dengan kapasiti tangki bahan api 10.1 liter, motosikal ini mampu mengharungi perjalanan lebih jauh.

Sepanjang menunggang uji, penulis tidak berasakan sebarang kekurangan terhadap enjin, suspensi atau pengendalian.


POTONGAN belakang tirus.

Ketiadaan meter penunjuk kedudukan gear sedikit sebanyak mengganggu tumpuan dan menyukarkan penulis mengenal pasti kedudukan gear yang betul.

Namun, kekurangan itu diganti dengan paparan meter LCD digital sangat jelas dan moden termasuk memiliki lampu amaran apabila RPM berada pada kedudukan tinggi.


PAPARAN meter LCD.

Lampu utama berteknologi LED memastikan pandangan jelas dalam sebarang keadaan cuaca termasuk lampu nyalaan siang (DRL) yang berguna.

Lampu belakang juga menggunakan LED dan lebih terang berbanding motosikal menggunakan mentol konvensional.

Ciri keselamatan juga boleh dibanggakan apabila cakera tunggal 296mm bersama angkup Nissin empat piston di hadapan dan cakera 220mm satu piston di belakang memastikan jarak membrek yang singkat.


LAMPU belakang LED.

Gabungan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran menjadikan jentera ini antara yang terbaik dalam kelasnya.

Kewujudan ABS memastikan penunggang dapat mengawal motosikal dalam situasi cemas selain memastikan jentera kekal stabil ketika membrek.


CAKERA brek hadapan 296mm.

Bagi penulis, Honda berjaya mengembalikan semula kegemilangan siri CB dengan pengenalan model ini dan yakin mampu memuaskan hati sesiapa yang memilikinya.

Dengan harga ditawarkan sekitar RM22,999 (tanpa insurans), Honda CB250R boleh dipertimbangkan sebagai motosikal pertama atau mereka yang mahu berjinak-jinak dengan dunia permotoran naked dan retro moden.


BREK belakang berserta ABS.

HONDA CB250R

• ENJIN: 249cc DOHC sejukan cecair PGM-FI

• TRANSMISI: 6 kelajuan

• KUASA MAKSIMUM: 27 hp @ 9,000 rpm

• TORK MAKSIMUM: 23.3Nm @ 8,000 rpm

• BREK: ABS dua saluran, cakera tunggal 296 mm (hadapan), cakera 220 mm (belakang)

• SUSPENSI: USD teleskopi (hadapan), monoshock swing arm (belakang)

• HARGA: RM22,999 (tanpa insurans)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 November 2018 @ 2:56 AM