LORENZO menurunkan tanda tangan pada baju lumba peminatnya.
Mohd Razlan Salleh
mrazlan@nstp.com.my

Sempena perlumbaan MotoGP yang berlangsung minggu ini, syarikat pengeluar minyak Shell Malaysia mengadakan sesi bertemu peminat di sebuah pusat beli-belah terkenal di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sejurus kehadiran pelumba utama mereka, Jorge Lorenzo bersama Pengarah Ducati Corse Sporting and MotoGP, Paolo Ciabatti, suasana di hadapan pusat beli-belah berkenaan menjadi riuh dengan sorakan peminat juara dunia tiga kali itu.

Kehadiran pelumba jentera angka 99 itu disambut Pengerusi Shell Malaysia, Datuk Iain Lo dan Pengarah Urusan Shell Malaysia Trading, Shairan Huzani Husain.

Lebih 100 peminat Lorenzo dan penyokong pasukan Ducati tidak melepaskan peluang bergambar bersama pelumba berkenaan.

Walaupun bakal meninggalkan pasukan Ducati musim depan, Lorenzo tetap bersemangat untuk memberi impak terhadap pasukannya, selain kembali berlumba.


PEMINAT tidak melepaskan peluang bergambar dan meminta tandatangan Lorenzo.

Dalam dua perlumbaan sebelum ini, pelumba Sepanyol itu terjatuh dan cedera.

Sementara itu, Shairan berkata, orang ramai dialu-alukan untuk hadir menyaksikan perlumbaan Shell Malaysia MotoGP di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

“Bawa ahli keluarga dan anak-anak untuk menyaksikan perlumbaan bertaraf dunia ini.

“Saya difahamkan tiket masih dijual dan jangan melepaskan peluang ini,” katanya.

Terdahulu, Lorenzo mempromosikan pelincir Shell Advance dan Shell V-Power yang dicipta khusus untuk jentera motosikal.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 November 2018 @ 12:01 AM