DERETAN kereta yang menyertai Toyota Vios Challenge.
Mohd Razlan Salleh
mrazlan@nstp.com.my


TIADA siapa menduga penyanyi Aiman Tino sebenarnya turut memiliki bakat seorang pelumba dan terbukti apabila mampu menewaskan pelumba selebriti lain yang dianggap lebih senior dan berpengalaman.

Namun, inilah dikatakan perlumbaan apabila pelumba bersedia dari segi mental dan fizikal selain mengekalkan rentak dengan konsisten serta pemanduan yang baik.

Itu adalah sebahagian daripada ‘babak’ perlumbaan Toyota Vios Challenge kategori Promotional ketika Festival Toyota Gazoo Racing (TGR) pusingan kedua di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Selangor, minggu lalu.

Simpati juga harus diberikan kepada Nabil Ahmad yang berjaya meraih tempat ketiga di belakang Akim Ahmad tetapi dikenakan penalti 20 saat selepas didapati melanggar jentera dipandu Naib Pengerusi Toyota Motor Sdn Bhd Akio Takeyama.

Terdahulu, Akio turut dikenakan penalti 10 saat sebaik perlumbaan bermula sebelum terbabit dalam perlanggaran hingga memaksa kereta keselamatan dikerah keluar.

Keadaan itu membolehkan Diana Danielle yang di belakang Nabil melonjak ke tempat ketiga.

Menurut Aiman, setiap kali perlumbaan, tumpuannya hanya untuk mendapat permulaan yang baik dan memberi cabaran kepada pelumba selebriti lain.

“Saya mengakui banyak tekanan apabila (berlumba) bersama Akim, Akio Takeyama dan Nabil tetapi dapat mengekalkan momentum dan perlahan-lahan merapati mereka,” katanya.

Sementara itu, Diana mengakui kurang fokus terhadap perlumbaan kali ini sehingga gagal memberi saingan sengit terhadap Nabil.

“Secara jujur, saya tidak memberi 100 peratus tumpuan dalam perlumbaan dan masih berusaha melakukan permulaan yang baik.


SELEBRITI bergambar selepas perlumbaan.

“Ketika berlumba, saya hampir merempuh kereta dipandu Nabil selepas dia terbabit dalam kemalangan bersama Akio,” katanya.

Bagaimanapun, Diana bersyukur apabila mendapat tempat ketiga selepas menamatkan perlumbaan di tempat keempat apabila Nabil dikenakan penalti 20 saat oleh pegawai perlumbaan.

Ketika ditanya mengenai insiden berkenaan, Nabil memohon maaf terhadap kejadian menimpa disebabkan terlalu ‘memaksa diri’.

“Saya memohon maaf kepada Akio kerana terlalu agresif dan tergesa-gesa untuk memintasnya,” katanya.

Selain itu, selebriti lain seperti Janna Nick, Wany Hasrita, Khai Bahar, Nabila Razali sementara Shawn Lee dan Shukri Yahaya beraksi dalam kategori Sporting.

Nasib malang turut menimpa Shawn apabila jenteranya mengalami kerosakan ketika sesi pemanas badan di litar sepanjang 1.99 kilometer (km) dan gagal meneruskan perlumbaan pada pusingan kali ini.

Shukri pula terus mencatatkan kedudukan memberangsangkan dan memberi cabaran sengit terhadap pelumba kategori berkenaan.

Kategori Sporting diungguli pelumba pasukan Nanoplus Patrick Tam, diikuti pelumba Distinctive Model Clement Yeo dan Eric Yong daripada pasukan ST Wangan Racing Team.

Kategori Super Sporting menyaksikan pelumba Kegani Racing Kenny Lee dinobatkan sebagai juara dan dicabar rapat Brendan Paul Anthony daripada pasukan Dream Chaser serta Boy Wong yang terus mengekori rapat.

Selain Toyota Vios Challenge, TGR turut menampilkan pelbagai aktiviti berkaitan permotoran dan keluarga.

Antaranya aksi pertunjukan drift juara dunia Masato Kawabata dari Jepun dan Drift Samurai, Takahiro Imamura.

Pengunjung juga boleh melihat lebih dekat selain memandu uji model kenderaan terkini Toyota termasuk kenderaan utiliti sukan (SUV) Rush, konsert selebriti TGR, promosi, sesi tandatangan Superfans dan penampilan maskot Baby Shark.

Turut diadakan pameran dan jualan cenderahati, permainan pentas, perhimpunan kelab kereta, pertandingan simulator perlumbaan dan cabutan bertuah.

Selepas pusingan pertama di Kuala Terengganu Ogos lalu dan pusingan kedua di MAEPS, Festival TGR akan meneruskan penjelajahannya ke Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang pada Februari tahun hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Oktober 2018 @ 4:20 AM