TOYOTA Rush lebih ranggi.
Mohd Razlan Salleh
mrazlan@nstp.com.my

Selepas menjengah pasaran 10 tahun lalu, UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) hari ini memperkenalkan generasi kedua Toyota Rush serba baharu yang lebih maskulin.

Model kenderaan utiliti sukan (SUV) tujuh tempat duduk yang dibangunkan khusus untuk pasaran Asia Tenggara ini dikemas kini dengan rekaan lebih praktikal dan tahan lasak.

Rush serba baharu ini masih mengekalkan imej SUV urban dengan pendekatan Rugged-Active Lifestyle.

Ia menggabungkan keselesaan seakan sedan dengan keluasan ruang serta posisi kedudukan kenderaan lebih tinggi yang sinonim dengan SUV.

Antara ciri terkini disiap bina ialah teknologi 360-T, pendekatan baharu Toyota berkaitan Trust and Technology yang menawarkan kepada pelanggan pakej inovasi lengkap untuk melindungi dan kelebihan kepada mereka di jalan raya.


REKAAN lampu belakang menarik.

Teknologi 360-T merangkumi tiga unsur iaitu Safe-T Plus yang hadir dengan ciri-ciri dan sistem keselamatan terkini sebagai standard, Connectivi-T yang menjanjikan teknologi terbaru untuk perhubungan, hiburan dan keselamatan serta Guaran-T untuk kelegaan fikiran sepenuhnya sepanjang tempoh pemilikan kenderaan.


LOKASI tempat letak botol minuman.

Rekaan Rush serba baharu ini cerminan buat sisi dinamik terhadap model akan datang keluaran Toyota dengan imej dan garis badan lebih tajam dikenali sebagai ‘R-BLADE’, merujuk pada model dan unsur logam yang tajam selain warna dwitona.

Toyota Rush serba baharu dikuasakan enjin 1.5L DOHC 16 injap terbaru daripada Toyota, menjanjikan kuasa kuda maksimum 105 PS pada 6,000rpm dan daya kilas 136 Nm pada 4,200 rpm.


ENJIN 1.5L DOHC 16 injap berkuasa.

Sistem transmisi automatik empat kelajuan dengan sistem Automatic Stop-Start mencatatkan angka penggunaan bahan api lebih baik dan menerima pengiktirafan sebagai kenderaan cekap tenaga (EEV).

SUV ini menggunakan sistem pacuan roda belakang sebagai kelebihan mengharungi permukaan jalan pelbagai, cengkaman lebih mantap ketika mendaki dan membawa bebanan.

Kapasiti ruang kargo ialah 217 liter dan boleh diperluas sehingga 514 liter dengan tempat duduk belakang dilipat.


KELUASAN maksimum.

Sistem audio DVD-AVX skrin sentuh 6.8 inci boleh digunakan sebagai sambungan atau lanjutan paparan bagi telefon pintar, membolehkan aplikasi seperti Google Maps dan Waze dipaparkan pada skrin.

Ciri standard lain ialah 13 ruang untuk cawan, Multi-Info Display, Panoramic View Monitor (PVM) 360 darjah, Sistem Kemasukan Pintar dan Digital Video Recorder (DVR) selain Toyota AutoTag bagi memudahkan pembayaran tol secara elektronik.


SISTEM audio skrin sesentuh 6.8 inci.

Toyota sentiasa meletakkan faktor keselamatan sebagai keutamaan apabila Rush serba baharu mendapat penarafan lima bintang ASEAN NCAP bagi kategori Perlindungan Penumpang Dewasa dan Kanak-kanak.

Ciri keselamatan aktif lain ialah Blind Spot Monitor (BSM) dengan Rear Cross Traffic Alert (RCTA) dan Pre-Collision System (PCS).

Harga sekitar RM98,000 bagi varian S manakala RM93,000 bagi varian G dengan lima pilihan warna disediakan iaitu putih, perak, kelabu, biru dan hijau.


TEKNOLOGI BSM membantu pemandu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Oktober 2018 @ 6:00 AM