EMBLEM menunjukkan Ford Ranger baharu menggunakan enjin Bi-turbo.
Mohd Razlan Salleh
mrazlan@nstp.com.my

Pengedar tunggal kenderaan Ford tempatan, Sime Darby Auto Connexion (SDAC) dijadual melancarkan edisi terbaharu Ranger minggu hadapan.

Antara varian yang bakal dilancarkan ialah Wildtrak, XL dan XLT, selain memperkenalkan rangkaian kenderaan berprestasi, Ford Ranger Raptor buat pertama kalinya di negara ini.

Namun, pikap paling digilai di seluruh dunia itu hanya boleh dilihat ketika Kuala Lumpur International Motor Show 2018, bulan depan.

Ford Ranger baharu menampilkan pelbagai teknologi yang dinaik taraf, termasuklah enjin diesel generasi baru 2.0L Bi-turbo yang pertama dan terulung dalam kelasnya.

Enjin berkuasa itu menjadi nadi buat varian Ranger Raptor dan Wildtrak, selain padanan transmisi automatik 10-kelajuan.

Selain itu, varian XLT+ juga menerima sistem transmisi 10 kelajuan seperti model premium lain.


ENJIN Bi-turbo 2.0L yang berkuasa.

Penambahbaikan ini menjadikan Ranger baharu memiliki enjin paling kecil tetapi berkuasa dalam pasaran trak pikap bersama prestasi serta penjimatan bahan api luar biasa.

Berpegang pada inspirasi sebagai pikap untuk apa jua gaya hidup, Ranger baharu dilengkapi lebih banyak teknologi pintar dan bantuan pemandu yang inovatif.

Antaranya Parkir Selari Separa Automatik yang memastikan urusan parkir menjadi lebih mudah di laluan sempit di bandar, terulung dalam kelasnya.


BUTANG penghidup enjin.

Sistem Brek Kecemasan Autonomi (AEB) dengan Pengesan Kenderaan dan Pejalan Kaki pula berfungsi mengesan pejalan kaki dan kenderaan sebelum memberi amaran kepada pemandu melalui isyarat bunyi.

Jika pemandu gagal bertindak balas, brek kecemasan diaktifkan dan kenderaan akan berhenti sepenuhnya.

Mengangkut dan mengeluarkan barangan atau bagasi percutian dan basikal menjadi lebih mudah melalui ciri Pengangkat Pintu But.


SISTEM kunci pintar.

Selain itu, ciri terulung lain terdapat pada Ranger baharu adalah Amaran Pelanggaran Hadapan, Amaran dan Bantuan Perubahan Laluan; dan Kawalan Jelajah Mudah Suai.

Maklumat lanjut mengenai Ford Ranger, layari laman web www.sdacford.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Oktober 2018 @ 1:00 AM