YAMAHA MT-07 baharu.
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@nstp.com.my

Sejak dilancarkan untuk pasaran tempatan pada 2014, Yamaha MT-07 antara motosikal hyper naked paling versatil dengan kelincahan kuasa dan daya kilas bertenaga selain penggunaan bahan api efisien.

Untuk sentuhan lebih segar, Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd (HLYM) memperkenalkan edisi 2018 dengan tema ‘Dark Attraction’ dengan beberapa ciri dipertingkatkan.

Ia kini hadir dengan reka bentuk tangki bahan api rekaan baharu, lampu belakang lensa kompak yang jelas dan corong angin sisi bagi menyerlahkan elemennya sebagai satu daripada ahli keluarga MT.

Sistem suspensi MT-07 turut dipertingkatkan dengan larasan fork hadapan diperhalusi untuk tunggangan meyakinkan.

Bahagian belakang dilengkapi pelaras redaman lantunan untuk pengendalian mantap dan kerangka tiub ‘backbone’ yang ringan dan tirus kendalian responsif.


MODEL hyper-naked versatil.

Model ini juga didatangkan bersama Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) roda hadapan dan belakang sebagai ciri keselamatan standard.

Untuk keselesaan menunggang sama ada jarak jauh atau dekat, jentera ini diberi rekaan pelana baharu lebih ergonomik.

Yamaha MT-07 dijana enjin kompak 689cc dua silinder selari ‘crossplane’ menawarkan kuasa dan daya kilas linear untuk keseronokan menunggang.

Untuk pasaran tempatan, dua pilihan ditawarkan iaitu Race Blue manakala Matt Grey boleh didapati bermula Januari tahun hadapan.

Model popular ini dijual pada harga RM38,288 (tanpa insurans) dengan jaminan pengeluar selama satu tahun atau 10,000 kilometer (km), yang mana terdahulu.

Sebagai tambahan, pembeli akan menerima pengunci brek cakera yang tahan karat dan lasak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Oktober 2018 @ 12:30 AM