MODEL 'JOIN' yang dijual secara eksklusif menerusi Lazada.
Mohd Razlan Salleh
mrazlan@nstp.com.my

Acara Volkswagen Fest 2018 yang berlangsung minggu lalu, tidak saja memberi peluang kepada orang ramai memandu uji pelbagai model terbaharu, malah turut melancarkan program 'Volkswagen Cares' untuk pelanggan setia mereka.

Penganjuran yang masuk tahun kedua itu diteruskan oleh Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) berikutan sambutan menggalakkan ketika kali pertama diadakan, tahun lalu.

Kali ini, peminat Volkswagen daripada segenap latar belakang meraikan 'kecintaan' mereka terhadap jenama popular Jerman ini dengan pelbagai aktiviti menarik disediakan.

Namun, fokus utama festival ini adalah pengenalan rangkaian model edisi khas dan Program Kesetiaan Pelanggan Volkswagen.

Selama tiga hari, pengunjung berpeluang memandu uji pelbagai model Volkswagen, menikmati rebat dan tawaran istimewa terhadap kereta baharu dan sudah didaftarkan.

Ada juga baucar petrol percuma bernilai RM3,000 untuk pembelian kereta terpakai terpilih, selain 'Starbuys' untuk model Vento yang ditawarkan pada harga serendah RM55,888 dan Golf GTI serendah RM188,888.


BARANGAN eksklusif Volkswagen yang dijual kepada pengunjung.

Dalam pada itu, pelancaran aplikasi mudah alih Volkswagen Cares menjadi satu inisiatif selepas jualan menggunakan platform baharu untuk berhubung bersama pelanggan dan menambah baik pengalaman pemilikan.

Aplikasi mudah alih itu hadir bersama senarai ciri berkaitan khidmat jualan dan selepas jualan merangkumi tawaran servis, ganjaran pemilik, video pendidikan, tip kemas kini acara dan bantuan tepi jalan 24 jam.

Lebih mudah lagi, Volkswagen Cares boleh digunakan pada peranti IOS dan Android yang boleh dimuat turun menerusi AppStore dan Google Play Store.

Berucap ketika majlis pelancarannya, Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter berkata, Volkswagen Cares bukan sekadar program kesetiaan semata-mata.

"Volkswagen Cares mengenai bagaimana kami berinteraksi, berhubung dan memberi perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan," katanya.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Lazada Malaysia, Christophe Lejeune.


WINTER (kiri) bersama Lejeune ketika memperkenalkan Volkswagen 'JOIN'.

Volkswagen Care Plus (VCP) adalah program eksklusif untuk pelanggan yang memiliki kenderaan berusia lima tahun ke atas dengan sekali bayaran sebanyak RM138.

Selain itu, VPCM perkenal rangkaian model 'JOIN' yang dijual secara eksklusif dalam talian menerusi laman sesawang Lazada Malaysia.

Hanya 25 unit ditawarkan membabitkan model Polo, Vento, Tiguan dan Passat.

Sepanjang program berlangsung, pemilik Volkswagen boleh mendapatkan pemeriksaan 20 point di gerai selepas jualan khas yang turut mengadakan pelbagai aktiviti berkaitan khidmat pelanggan.

Festival Volkswagen tidak lengkap tanpa acara perhimpunan kereta Volkswagen dan kehadiran kereta VW klasik dan terkini menjadikan program berkenaan lebih meriah.

Penutup kepada acara berkenaan adalah tayangan filem Herbie Fully Loaded (2005) dan konsert mini disertai band tempatan seperti Bunkface, Paperplane Pursuit dan Talitha Tan.


VOLKSWAGEN Kombi antara model yang paling menarik perhatian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Oktober 2018 @ 12:00 AM