X70 dengan sentuhan pereka tempatan. FOTO NSTP
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@nstp.com.my

Kerjasama Proton Holdings Berhad (Proton) dengan Zhejiang Geely Holding Group (Geely Holding), syarikat teknologi automotif terbesar China sejak Jun tahun lalu mula menampakkan hasil positif.

Model pertama kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X70 rekaan tempatan diasaskan daripada model Geely Boyue, bakal dilancarkan tidak lama lagi.

Meskipun hanya perubahan kecil pada kemasan luaran dan dalaman, ia memberi kesan besar terhadap persediaan industri automotif negara untuk bersaing ke peringkat lebih tinggi.

Bukan sekadar model baharu, Proton kini mula berubah ke arah corak dan gaya kerja lebih terbuka terutama peluang bekerjasama dengan Geely Design Global yang bertanggungjawab mereka bentuk kenderaan jenama Volvo, Lynk & Co, Lotus dan London Taxi.

Vroom Harian Metro berkesempatan menemu bual Ketua Reka Bentuk Proton, Azlan Othman di Pusat Kecemerlangan Proton (COE) di Subang Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Berikut adalah kenyataan Proton mengenai misi dan visi rekaan kenderaan mereka pada masa akan datang, seterusnya mencipta kebangkitan Proton di rantau ini.

SOALAN (S): Apakah pendekatan diambil Proton sebaik bekerjasama dengan unit reka bentuk Geely?

JAWAPAN (J): Memahami dan menghormati budaya dan berfikiran terbuka antara yang diterapkan untuk pereka Proton pada peringkat awal pembabitan kami bersama Geely.

Untuk projek SUV Proton X70 ini, kami diberi tempoh lama iaitu 10 bulan menyiapkan segala kajian dan penghasilan elemen rekaan berpandukan asas budaya antara dua negara.

Malah, lebih 50 peratus pereka Proton berpindah ke Shanghai, China, bagi memahami lebih mendalam cara dan budaya warga China bekerja.

S: Adakah menetap di Shanghai memberi impak kepada pereka Proton?

J: Ini antara elemen penting yang menyemarak semangat mereka untuk berfikiran lebih terbuka dan cepat belajar mengenai fungsi rekaan itu dengan lebih dalam serta terperinci.

Paling utama setiap hasil rekaan dipantau Presiden Geely, AN Conghui dan Naib Presiden Eksekutif Reka Bentuk Geely, Peter Horbury, yang juga Naib Presiden Reka Bentuk Volvo Car Corporation.

S: Bagaimana penerimaan Geely terhadap pereka Proton?

J: Mereka mudah bekerjasama dan menerima kami dengan baik kerana reputasi Proton sebelum ini yang banyak bekerja rapat bersama jenama antarbangsa seperti Lotus, Honda dan Mitsubishi.

Adalah penting untuk memahami dan menghalusi budaya kerja rakyat China dan mereka juga melakukan perkara sama terhadap kita.

Gaya percakapan terutama intonasi mereka memang berbeza dengan masyarakat Cina tempatan yang lebih lembut dan jika keadaan ini tidak difahamkan terlebih dahulu, maka sukar untuk kami melaksanakan tugasan ini.

Namun sebaik sudah diperhalusi secara berperingkat, semua pereka mudah bekerjasama kerana seni dan rekaan adalah sesuatu subjektif di mana keserasian mudah dicapai sebaik ‘bahasa’ rekaan menjadi penghubungnya.

Di Geely, kami sering berbincang dan setiap buah fikiran serta idea diambil kira untuk menghasilkan produk berkualiti mengikut ketetapan standard diperlukan.


PERBINCANGAN bersama pereka. FOTO Aziah Azmee

S: Apakah cabaran utama untuk rekaan X70?

J: Kami bebas melontarkan idea rekaan, namun perlu disesuaikan dengan fungsi teknikal kenderaan, aerodinamik serta mempunyai elemen komersial yang perlu diselitkan.

Sebagai contoh pada roda stereng XC70 walaupun hanya membabitkan pertukaran logo, ia adalah komponen paling lama perlu diselesaikan kerana harus melalui ujian semula untuk kelulusan penggunaan.

Setiap perubahan dilakukan kecil atau besar harus dilakukan pemeriksaan semula dan ini adalah cabaran utama terutama aspek keselamatan.

Berlaku juga perselisihan pendapat tetapi hanya untuk mendapatkan yang terbaik.

S: Apakah falsafah rekaan diketengahkan untuk model Proton X70?

J: Progresif, harmoni dan semangat adalah tiga elemen utama dalam falsafah rekaan Proton terkini.

Secara kebetulan, elemen asas rekaan Boyue diinspirasikan daripada bentuk berotot dan kelincahan keluarga kucing besar dan seiring dengan Proton seperti Harimau Malaya yang menjadi logo jenama.

Mengambil contoh kucing walaupun pelbagai spesies dan saiz, namun masih tetap dikenali sebagai kucing dan elemen ini diterapkan Geely dalam rekaan setiap modelnya dan diketengahkan untuk Proton.

Antara elemen unik adalah inspirasi persekitaran tradisional dan warisan seni ukiran kayu dan kami namakan ia sebagai Infinite Weave.

S: Apakah yang diubah untuk model Proton X70 berbanding model asalnya?

J: Antara perubahan paling ketara adalah bahagian gril yang memiliki reka bentuk diinspirasikan daripada busur panah melambangkan ketangkasan, kepantasan dan ringan.

Logo Proton di tengah diapit tiga gril hitam mendatar mempunyai corak pengulangan diinspirasikan daripada ketukangan dan warisan Malaysia.

Untuk bahagian dalaman, elemen mewah seperti lapisan kulit Nappa, kemasan aluminium dan skrin sesentuh memaparkan teknologi terkini serta garisan dalaman kombinasi warna gelap dan terang.

Selain itu, corak Infinite Weave yang dibawa ke kabin untuk gril pembesar suara dan pembuka pintu.

Logo stereng kereta melengkapkan kerjasama pereka kami untuk model pertama SUV Proton ini.

S: Bagaimana elemen ini diterima oleh Geely?

J: Pihak Geely memahami elemen yang ada pada Boyue perlu ditukar untuk kesesuaian pasaran dan memberi kebebasan untuk kami menghasilkan rekaan bersesuaian.

Maka untuk lebih sinonim dengan elemen tempatan, motif awan larat, batik dan busur panah dijadikan asas tetapi perlu melalui proses dan pembentangan di Design Board Review untuk mendapat kelulusan sebelum digunakan pada X70.

Ini antara keterbukaan Geely terhadap pereka Proton yang pasti lebih memahami budaya dan kehendak pasaran terutama membabitkan pilihan warna dan material.

Juga sistem pemanduan sebelah kanan (RHD) yang mana Proton sudah bekerjasama untuk satu tempoh lama bersama Lotus antara kelebihan yang menjadi keutamaan disasarkan Geely.

S: Apakah hala tuju reka bentuk Proton pada masa akan datang?

J: Rekaan dan falsafah Proton kini selari dengan yang diguna pakai untuk semua produk Geely dan berubah mengikut peredaran zaman serta tidak akan ada satu rekaan yang sama untuk semua.

Kini sudah tiba masanya untuk Proton berubah ke arah lebih progresif menjadikan perjalanan Proton membina jenamanya berada pada landasan yang betul.

Asas rekaan dengan kajian dan perlaksanaan sangat dipentingkan bagi memberi nilai komersial serta fungsi kenderaan.

Secara asasnya, Proton sudah bersedia ke arah sesuatu yang lebih besar dan bersifat global, seterusnya memacu jenama ini ke tahap lebih tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Oktober 2018 @ 10:43 AM