PROTON X70
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@nstp.com.my


PROTON kini membuka tempahan SUV serba baru model Proton X70 menerusi laman web korporat syarikat itu sejak jam 10 pagi tadi.

Bermula hari ini pelanggan yang tidak berkesempatan ke cawangan pengedar 3S dan 4S Proton boleh melakukannya menerusi platform atas talian yang disediakan.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Abdul Rashid Musa berkata, tempahan boleh dibuat di mana-mana sahaja lokasi menggunakan peranti seperti komputer, tablet atau telefon bimbit yang mempunyai sambungan internet.

“Setiap tempahan pelanggan perlu memberikan butiran peribadi, model dan warna pilihan serta bandar dan negeri mana ingin kereta itu diambil,

“Selepas bayaran tempahan dilakukan secara atas talian resit akan dihantar kepada e-mel pelanggan,” katanya.

Untuk mempromosikan kemudahan platform jualan terbaharu ini, Proton juga akan mengadakan jualan kilat dari 17 hingga 19 Oktober ini dengan yuran tempahan hanya RM99 sahaja.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Oktober 2018 @ 1:03 PM