DERETAN Volkswagen Golf sedia untuk dipandu.
Mohd Razlan Salleh
mrazlan@nstp.com.my

MENGUJI jentera berprestasi tinggi memerlukan lokasi sesuai untuk beraksi dan tempat paling layak adalah litar lumba.

Baru-baru ini, pengedar rasmi kenderaan Volkswagen tempatan, Volkswagen Passengers Cars Malaysia Sdn Bhd (VPCM) menganjurkan Volkswagen Track Day 2018 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bertujuan memberi peluang kepada pemilik menguji keupayaan kenderaan mereka ke tahap maksimum.

Tidak khusus buat media automotif semata-mata, program berkenaan membolehkan pemilik, bakal pemilik dan ahli kelab Volkswagen tempatan memanfaatkan peluang yang ada menguji kemampuan jentera di lokasi paling selamat untuk memecut.

Malah, peserta juga berpeluang menjadi ‘penumpang hadapan’ bersama pelumba profesional seperti Jazeman Jaafar.

Penulis juga tidak melepaskan peluang menguji jentera Volkswagen paling berkuasa iaitu model Golf varian R-Line dan GTI.

Semua wakil media diberikan peluang memandu kedua-dua model berkuasa itu sebanyak tiga pusingan.

Dengan keadaan litar yang licin selepas dibasahi hujan sebelum acara berlangsung, penulis mengakui sukar mengendalikan jentera kompak berkenaan.

Volkswagen Golf GTI dikuasakan enjin 2.0L pengecas turbo menghasilkan 228 kuasa kuda (hp) dan 350 Nm tork selain dipadankan bersama kotak gear anjakan terus (DSG) klac basah.

Kelajuan maksimum didakwa ialah 248 kilometer sejam (km/j) dengan pecutan daripada kedudukan pegun hingga 100 km/j hanya 6.4 saat.

Sepanjang menguji di litar, penulis mencatatkan kelajuan melebihi 200 km/j pada laluan lurus manakala kawalan casis adaptif membolehkan jentera memasuki selekoh dengan stabil selain tindak balas stereng, suspensi dan tayar menunaikan tugas dengan lancar.

Walaupun keadaan litar basah dan licin, sistem Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Electronic Differential Lock (XDS+) dan tayar bersaiz 225/40R18 kekal mencengkam permukaan litar.

Sesi kedua membolehkan penulis memandu varian Golf R-Line dengan kuasa dikatakan 148 hp dan 250 Nm.

Dikuasakan enjin 1.4 pengecas turbo TSI yang dipadankan dengan kotak gear DSG tujuh kelajuan, jentera kompak ini kekal berkuasa untuk menakluk litar.

Walaupun tidak sepantas varian GTI, kuasa dihamburkan memadai bagi memberi kepuasan kepada pemandu.

Varian ini mengambil masa 8.2 saat untuk mencapai kelajuan 100 km/j manakala pecutan maksimum adalah 216 km/j.

Penutup acara adalah sesi ‘taxi ride’ bersama Jazeman yang memandu jentera Golf R.

Penulis sempat mengajukan soalan mengenai model R dipandunya dan Jazeman mengakui ‘jatuh cinta’ terhadap varian itu dan bertekad memilikinya satu hari kelak.

Terdahulu, sepanjang program selama dua hari itu, VPCM menyediakan beberapa model lain seperti Jetta, Passat, Polo, Tiguan dan Vento untuk dipandu uji.

Selain menikmati sendiri teknologi terkini Volkswagen, peserta meneliti lebih dekat pelbagai model itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Oktober 2018 @ 3:30 AM