DUCATI Desert Sled sungguh bergaya. FOTO/EMAIL
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@nstp.com.my


IA bukan sekadar nama, namun jentera dua roda ini sememangnya direka untuk pelbagai tujuan sama ada beraksi di jalan raya atau mengharungi laluan lasak.

Idea menghasilkan Desert Sled diinspirasikan sekitar 1980-an daripada motosikal standard berkuasa 500cc yang diubah untuk tujuan tunggangan lasak di kawasan gurun California, Amerika Syarikat (AS) dengan ciri tayar berbunga tebal dan enjin dipasang plat logam bertujuan melindungi kerangka daripada terkena objek asing.

Bagi mengembalikan nostalgia itu, versi moden dihasilkan dan masih mengekalkan konsep sama tetapi disuntik elemen gaya hidup bagi disesuaikan untuk tunggangan harian.

Model Ducati Scrambler dibawa ke pasaran tempatan sejak 2015 oleh pengedar rasmi Next Bike Sdn Bhd dan jentera Itali kategori street ini menjanjikan kuasa menyeronokkan.

Untuk mengujinya, Vroom Metro Ahad berpeluang menunggang Desert Sled, baru-baru ini, yang menjengah pasaran sekitar tahun lalu.

Varian ini adalah antara varian untuk Ducati Scrambler selain Sixty2, Icon, Classic, Full Throttle, Cafe Racer dan terbaru, varian 1100.

Berbanding model Ducati lain, Desert Sled menjanjikan gaya lasak seperti sebuah Enduro, malah lebih selesa dan sesuai untuk pelbagai permukaan jalan yang dipadankan rim hadapan 19 inci dan belakang 17 inci.

Reka bentuk asasnya masih mengekalkan ciri sama dengan varian lain di samping gaya moden retro yang segar sepanjang zaman terutama lampu hadapan bulat serta pelindung besi menyerlahkan gaya lasak.

Untuk versi Scrambler ini dipasang pelindung lumpur tinggi pada roda hadapan dan panjang di belakang, termasuk pemegang aluminium dengan topang bersilang yang sesuai bagi laluan off-road.

Dijana enjin 803cc L-Twin Desmodromic sejukan udara, ia menawarkan 73 kuasa kuda (hp) pada 8,250 rpm dan daya kilas 67Nm pada 5,750 rpm untuk pelbagai kelajuan tinggi dan rendah.

Menunggangnya memberi kelebihan tersendiri buat penulis di bandar ketika melepasi halangan seperti bonggol atau batasan batu dengan mudah.

Ini kerana jentera ini memiliki kelegaan bumi 230 milimeter (mm) dan fork hadapan 46 mm boleh laras sepenuhnya.

Ketika mencelah dalam kesesakan jalan raya, klac basah APTC pelbagai kawalan mekanikal dengan enam kelajuan mudah dikendalikan termasuk pendikit yang tidak terlalu agresif menjadikan perjalanan lebih lancar.

Padanan pelana 860 mm sesuai buat penunggang melihat trafik lebih jelas selain selesa membawa pembonceng.

Kapasiti tangki bahan api 13.5 liter mencatatkan jarak perjalanan sekitar 200 kilometer (km) bergantung pada gaya tunggangan.

Dengan berat jentera sekitar 207 kilogram (kg), ia tidak terlalu ringan tetapi masih dapat dikawal dengan baik terutama ketika mengharungi jalan lasak.

Suspensi belakang tunggal non-linkage daripada peredam kejutan Kayaba boleh dilaras untuk prabeban dan lantunan serta lengan ayun aluminium menyerap tekanan dengan baik terutama melalui jalan tidak rata serta selekoh.

Ekzos berkembar dengan peredam keluli tahan karat dan muffler aluminium menghemburkan bunyi keras yang lasak.

Walaupun menerima sentuhan off-road, ia dilengkapi panel meter LCD digital penuh memaparkan kelajuan, jarak perjalanan, waktu, rpm serta penanda tahap bahan api.

Sistem brek cakera 330 mm hadapan dan 245 mm di belakang dengan angkup Brembo serta Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) yang boleh dimatikan adalah ciri standard.

Secara keseluruhan, jentera ini mempunyai kelebihan tersendiri yang boleh bertindak sebagai Enduro sama ada untuk laluan biasa atau lasak.

Model ini pernah diguna dalam perlumbaan Rimba Raid yang dilangsung di Kuala Tahan, Pahang, sekali gus membuktikan laluan lasak adalah mainan jentera ini.

Untuk tunggangan harian, ia selesa digunakan dan dikawal dengan baik sama ada seluk-beluk dalam bandar atau menjelajah ke destinasi pilihan pada hujung minggu.

Ducati Scrambler Desert Sled dijual pada harga RM69,900 (tanpa insurans) dengan waranti pengeluar dua tahun tanpa had perbatuan, di samping tawaran Program Servis Pintar Ducati untuk servis percuma selama dua tahun atau 30,000 km termasuk Desmodromic.


CARA pemanduan yang selesa.

SPESIFIKASI

DUCATI SCRAMBLER DESERT SLED

Enjin: 803cc, L-Berkembar Desmodromic, sejukan udara.

Kuasa maksimum: 73 hp @ 8,250 rpm

Tork maksimum: 67 Nm @ 5,750 rpm

Kapasiti petrol: 13.5 liter

Ciri keselamatan: ABS

Harga: RM69,900 (tanpa insurans)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Oktober 2018 @ 1:24 AM