GOLF R dan GTI.
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@nstp.com.my

Mula dilancar pada 1974 sebagai kereta keluarga di Jerman, Volkswagen Golf mempunyai tarikan tersendiri dari segi rekaan, ruang, kompak dan prestasi enjin.

Maka tidak hairanlah model asal direka Georgio Giugiaro dan Herbert Schferini terjual lebih 33 juta unit di Eropah, malah DNA dan konsepnya dikekalkan hingga hari ini.

Sempena pengenalan generasi 7.5 ke pasaran tempatan, baru-baru ini, satu sesi pandu uji barisan model Golf dianjurkan pengedar utamanya di negara ini iaitu Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM).

Untuk memberi pengalaman lebih dekat, tiga daripada empat varian (kecuali Sportsline) disediakan untuk diuji media iaitu Golf R-Line, Golf GTI dan Golf R dengan karakter dan penalaan berbeza bagi memenuhi cita rasa golongan sasarnya. Program bermula dari Kuala Lumpur menuju Johor Bahru.

GAYA prestasi GTI.

Penulis memulakan pemanduan dengan model GTI melalui kesesakan jalan raya ke Lebuhraya Kajang Seremban (LEKAS) dan kemudian menuju Bukit Putus di Negeri Sembilan.

Golf GTI yang didorong enjin 2.0L TSI bersama enam kelajuan DSG adalah model berprestasi ikonik ‘hot hatch’ yang menjanjikan kuasa kuda 230PS pada 4,700rpm dengan daya kilas 350Nm pada 1,500rpm.

Enjin teknologi TSI dengan pengecas turbo suntikan bahan api (FSI) bukan saja bertenaga pada sebarang kelajuan, malah efisien dalam penggunaan bahan api dengan emisi rendah.

Melayari selekoh tajam di Bukit Putus menyerlahkan karakter Golf GTI yang memberikan pengendalian mantap termasuk penukaran gear dan kuasa lancar dengan Kawalan Casis Adaptif dan pilihan mod pemanduan Eco, Comfort, Normal, Sport dan Individual.

Selepas singgah di Melaka untuk makan tengah hari, media berpeluang menguji model lain dan kali ini, penulis memandu varian R-Line yang dikuasakan enjin 1.4 TSI.

R untuk prestasi maksimum.

Model yang menerima penarafan kenderaan cekap tenaga (EEV) dengan enjin pengecas turbo tunggal dan FSI ini dilengkapi kotak gear tujuh kelajuan DSG untuk kuasa 150PS pada 5,000 hingga 6,000 rpm dan daya kilas 250Nm pada 1,500 hingga 3,500 rpm.

Enjin kompak ini menjanjikan tenaga lebih besar daripada angka kapasiti silinder (cc) dan sentiasa responsif baik ketika pemanduan di bandar mahupun di lebuh raya.

Empat mod pemanduan iaitu Eco, Normal, Sport, Individual memang sesuai untuk mereka yang mahukan kenderaan sebagai kegunaan harian atau kepuasan memandu pada hujung minggu.

Di Johor Bahru, media berpeluang memandu uji varian R yang tertinggi dalam keluarga Golf di litar sementara khusus di tapak parkir berdekatan hotel penginapan.

Sememangnya varian ini ditala untuk prestasi dan digabungkan bersama teknologi terkini padanan enjin 2.0L yang menghamburkan 290PS dan daya kilas puncak 380Nm.

LOGO R ciri eksklusif ruang dalaman.

Versi R dengan pacuan semua roda 4MOTION memberikan cengkaman lebih mantap terutama ketika hujan, bersalji (di kawasan berkaitan), jalan raya basah dan berlumpur.

Mengenai ciri dan rekaan luarannnya pula, ketiga-tiga model ini dilengkapi lampu hadapan LED dan lampu nyalaan siang (DRL) serta Sistem Bantu Cahaya Dinamik dan bagi GTI, garisan merah sebagai pengenalan.

Setiap varian berbeza dari segi rekaan gril, bampar hadapan dan belakang termasuk pakej penggayaan R-Line dipadankan rim 17 inci ‘Singapore’, GTI dilengkapi pakej penggayaan luaran GTI dan rim 18 inci ‘Milton Keynes’ serta R dengan pakej penggayaan R bersama rim 19 inci ‘Pretoria Black’.

SISTEM hiburan dan maklumat.

Bagi kemasan dalaman, setiap model mengekalkan ciri keselesaan dengan tawaran teknologi terkini seperti Varian R-Line dengan ‘Composition Media’ iaitu skrin sesentuh lapan inci untuk hiburan dan maklumat dengan ketersambungan telefon pintar seperti MirrorLink, Apple CarPlay, Android Auto dan Paparan Info Aktif berdefinasi tinggi bersaiz 12.3 inci untuk pemandu.

Golf GTI yang hadir bersama ‘Discover Media’ mempunyai ciri sama serta ditambah monitor prestasi dan pilihan mod pemanduan, manakala Varian R dilengkapi skrin sesentuh bersaiz 9.2 inci ‘Discover Pro’ dengan tambahan Kawalan Gerak Isyarat (Gesture Control).

GRIL ikonik GTI.

Ruang dalaman ciri sporty dengan kerusi bersadur kulit ‘Vienna’ menawarkan keselesaan terutama ketika melalui selekoh dengan sokongan sisi dan kemasan Lumbar yang dapat dibezakan menerusi varian dengan jahitan merah untuk GTI dan logo R padanya.

Kerusi belakang lipatan 60:40 untuk ruang but daripada 380 liter menjadi 1,270 liter (R-Line dan GTI) dan 343 liter/1,233 liter (R) adalah ciri praktikal untuk membawa muatan tambahan antara kelebihan model Golf ini.

Elemen keselamatan terbaik disediakan dengan tujuh beg udara, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), sistem brek anti-kunci (ABS), ISOFIX, bantu rehat, Kunci Perbezaan Elektronik (XDS) dan sistem perlindungan penumpang proaktif.

RIM 18 inci untuk GTI.

Selepas menguji Volkswagen R-Line, GTI dan R, setiap model menjanjikan kesesuaian mengikut cita rasa pembeli bergantung pada gaya hidup dan keperluan pemanduannya.

R-Line dengan gaya luaran sporty dan enjin 1.4TSI untuk prestasi dan keselesaan, GTI untuk pemanduan prestasi dengan enjin 2.0TSI pengecas turbo serta R buat peminat prestasi maksimum dengan 2.0TSI 4MOTION pengecas turbo.

Untuk pasaran tempatan, keluarga Golf ini dijual pada harga bermula RM146,888 (1.4TSI Sportline), RM159,888 (1.4TSI R-Line), RM225,888 (GTI) dan RM278,888 (R) dengan lima tahun waranti pengeluar serta selenggaraan percuma selama tiga tahun.

KERUSI bersadur kulit Vienna.

VOLKSWAGEN GOLF R-LINE

• ENJIN: 1,395cc petrol empat silinder pengecas turbo suntikan terus TSI

• KUASA MAKSIMUM: 150PS pada 5,000 hingga 6,000rpm

• TORK MAKSIMUM: 250Nm pada 1,500 hingga 6,000rpm

• TANGKI PENUH: 50 liter

• CIRI KESELAMATAN: Tujuh beg udara, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), brek Anti-Kunci (ABS), ISOFIX, bantu rehat, Kunci Perbezaan Elektronik (XDS) dan sistem perlindungan penumpang proaktif.

• HARGA: RM159,888 (tanpa insurans)

VOLKSWAGEN GOLF GTI

• ENJIN: 1,984cc petrol empat silinder pengecas turbo suntikan terus TSI

• KUASA MAKSIMUM: 230PS pada 4,700 hingga 6,200rpm.

• TORK MAKSIMUM: 350Nm pada 1,500 hingga 4,600rpm

• TANGKI PENUH: 50 liter

• CIRI KESELAMATAN: Tujuh beg udara, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), brek anti-kunci (ABS), ISOFIX, bantu rehat, Kunci Perbezaan Elektronik (XDS) dan sistem perlindungan penumpang proaktif.

• HARGA: RM225,888 (tanpa insurans)

VOLKSWAGEN GOLF R

• ENJIN: 1,984cc petrol empat silinder 4Motion pengecas turbo suntikan terus TSI

• KUASA MAKSIMUM: 290PS pada 5,500 hingga 6,500rpm

• TORK MAKSIMUM: 380Nm pada 2,000 hingga 5,400rpm

• TANGKI PENUH: 55 liter

• CIRI KESELAMATAN: Tujuh beg udara, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), brek anti-kunci (ABS), ISOFIX, bantu rehat, Kunci Perbezaan Elektronik (XDS) dan sistem perlindungan penumpang proaktif.

• HARGA: RM278,888 (tanpa insurans)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Ogos 2018 @ 1:01 AM