NINJA 250 Serba Baru.
Mohd Razlan Salleh
mrazlan@nstp.com.my

Kawasaki Motors (M) Sdn Bhd melancarkan motosikal kelas pertengahan, Ninja 250 Serba Baru dengan pembaharuan menyeluruh terhadap rekaan dan enjin lebih bertenaga.

Dikuasakan enjin Parallel Twin 249cc DOHC sejukan cecair, model terbaru ini menjanjikan 39 kuasa kuda (hp) pada 12,500 rpm manakala daya kilas sehingga 23.5Nm pada 10,000 rpm.


ENJIN Parallel Twin berkuasa.

Kuasa maksimum dihasilkan dibantu penggunaan injap pendikit (throttle valve) lebih besar bersaiz 32 milimeter (mm), penyuntik bahan api terkini, kotak udara lebih besar, salur udara lebih pendek dan nisbah mampatan lebih tinggi.

Selain enjin, model serba baru ini juga didatangkan dengan transmisi enam kelajuan bersama Assist & Slipper Clutch.


BREK dengan keupayaan ABS.

Penggunaan kerangka Trellis baru juga menjadikannya lebih stabil manakala berat keseluruhan motosikal sekitar 167 kilogram (kg), 5kg lebih ringan berbanding model terdahulu.

Sistem keselamatan juga dipertingkatkan dengan penggunaan brek cakera 310 mm pada roda hadapan dan 290 mm pada roda belakang.


LAMPU hadapan dengan LED berkembar dan nyalaan siang.

Melihat kepada rekaan, penggunaan lampu hadapan LED berkembar dan lampu nyalaan siang (DRL) menjadikan rupanya tampak premium manakala panel instrumen paparan digital dan analog menambahkan lagi gaya seperti varian Ninja 650.

Bahagian belakang lebih tirus dengan perumah lampu belakang berbentuk berlian yang dihuni mentol LED.


LAMPU belakang rekaan berbentuk berlian tiga bucu.

Dijual pada harga bermula RM23,071 (tanpa insurans), dua warna ditawarkan iaitu Passion Red/Metallic Flat Spark Black dan Pearl Solar Yellow/Pearl Storm Grey.

Jentera Ninja 250 Serba Baru ini mula berada di semua pengedar Kawasaki Malaysia bermula pertengahan bulan ini.


PAPARAN meter kombinasi digital dan analog.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Ogos 2018 @ 12:20 AM