LAMPU hadapan gaya tersendiri.
Mohd Razlan Salleh
mrazlan@hmetro.com.my

Selepas dipertontonkan kepada umum di Ducati World Premiere ketika EICMA 2017 di Milan, Itali, hujung tahun lalu, pengedar sah Ducati tempatan, Next Bike Sdn Bhd, melancarkan dua varian Scrambler 1100 yang menepati selera penunggang motosikal berkuasa tinggi.

Ducati Scrambler 1100 Special dan Ducati Scrambler 1100 Sport melengkapkan barisan model berkenaan di pasaran dengan harga berdaya saing buat jentera berkuasa melebihi 1,000cc.

Berkongsi nadi dengan model Monster 1100, Scrambler terbaru ini dijana enjn Desmodue L-twin dua injap bersesaran 1,079cc menjanjikan kuasa maksimum 86 kuasa kuda (hp) pada 7,500 rpm dan daya kilas maksimum 88.4Nm pada 4,750 rpm.

Enjin ini digabungkan bersama kotak gear enam kelajuan dengan klac berbilang plat basah dengan kawalan hidraulik dan fungsi slipper untuk mengawal gelinciran roda belakang apabila gear diturunkan dalam keadaan pantas.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (Kumpulan Automotif) Naza Corporation Holdings, Datuk Samson Anand George, berkata Scrambler 1100 memenuhi keperluan penunggang dengan gaya sejati jentera Scrambler.

SUSUK tubuh lebih sporty.

“Jualan global untuk Scrambler melepasi 46,000 unit sejak pengenalan pertama pada 2015 dan kini, kehadiran Ducati Scrambler 1100 di pasaran tempatan melengkapkan barisan model Scrambler sedia ada.

“Kami menjangkakan model ini diterima baik peminat tegar jentera lasak dan premium tempatan,” katanya ketika majlis perlancaran berkenaan di MAEPS, semalam.

Terdahulu, seperti model Ducati Scrambler lain, Scrambler 1100 tidak berkompromi perihal ekspresi diri, gaya dan ikonik jenama Itali. Scrambler 1100 Special persis model klasik kontemporari manakala varian 1100 Sport berpotongan gaya lebih maskulin.

Kedua-dua model ini diilhamkan daripada versi asal 1970-an dengan suntikan enjin dan reka bentuk lebih moden. Antaranya, susuk tubuh dan pelana lebih besar untuk tunggangan lebih selesa serta kerangka belakang berasingan daripada casis.

ENJIN menawarkan 86 hp dan tork 88.4Nm.

Selain itu, perumah lampu dipertingkatkan dengan trim aluminium baru dan paparan meter dua elemen digital memaparkan kelajuan, takat bahan api, lampu amaran dan maklumat Sistem Multimedia Ducati sambungan Bluetooth.

Seperti semua model Ducati, Scrambler 1100 dilengkapi sistem penutupan injap enjin Desmodromic yang menetapkan pembukaan injap dan ekzos secara elektronik.

Tangki bahan api pula mampu memuatkan 15 liter bahan api membolehkan jarak perjalanan lebih jauh.

Sistem gantungan Ohlins dengan saiz roda 18 inci di hadapan dan 17 inci di belakang memastikan tunggangan lebih stabil dan lancar dalam sebarang kelajuan atau permukaan jalan raya.

DUCATI Scrambler 1100 menawarkan reka bentuk maskulin.

Ciri keselamatan dipertingkatkan termasuklah brek dwicakera 330mm dengan dua piston empat omboh Brembo M 4.32B Monobloc dengan piston 34mm, Bosch 9.1 MP Cornering ABS dan Ducati Traction Control (DTC) yang pertama dalam keluarga Scrambler.

Berharga RM83,000 (tanpa insurans) untuk Ducati Scrambler 1100 Special dan RM85,000 bagi Scrambler 1100 Sport, kedua-duanya hadir dengan warna Custom Gray serta Viper Black untuk Scrambler 1100 Sport.

Model ini juga termasuk Program Perkhidmatan Pintar Ducati, perkhidmatan percuma selama dua tahun atau 30,000 kilometer (km) termasuk perkhidmatan Desmodromic di pusat jualan dan perkhidmatan Ducati sah.

EKZOS berkembar identiti Ducati .

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Julai 2018 @ 1:00 AM