LAMPU hadapan masih mengekalkan bentuk bulat bersama lampu nyalaan siang (DRL).
Mohd Razlan Salleh
mrazlan@nstp.com.my

Siapa yang tidak mengenali kereta MINI? Sejak dipopularkan oleh Mr Bean, jentera kecil itu kelihatan sangat comel dan menarik. Belum lagi melihat aksi lincahnya dalam filem The Italian Job yang turut menggunakan model berkenaan sebagai ‘kenderaan rasmi’.

Bagi penulis, kali pertama menerima kunci pintar MINI Cooper Amplified Edition daripada BMW Group Malaysia, memang diakui sangat mengujakan.

Selain menjadi ikon kenderaan British, reka bentuknya yang masih kekal menjadi satu keunikan.

Lihat saja bentuk lampu, ruang dalaman dan rim, hampir sama dengan model 1980-an kecuali saiznya yang lebih besar selain dibekalkan nadi yang lebih berkuasa.

Sedikit ringkasan mengenai edisi ini, ia didatangkan bersama inspirasi sentuhan John Cooper Works (JCW) yang lebih sporty, berkuasa serta sarat dengan teknologi terkini.

Berasaskan model Cooper S, edisi ini didatangkan dengan nadi 2.0L MINI Twin Power Turbo menghamburkan 211 kuasa kuda (hp) pada 5,000 hingga 6,000rpm dengan daya kilas sehingga 300Nm pada 1,350 hingga 4,600rpm.


MINI Cooper Amplified Edition menawarkan reka bentuk sporty.

Tidak hairan jentera ini hanya mengambil masa 6.7 saat untuk mencapai kelajuan 100 kilometer sejam (km/j) manakala kelajuan maksimum dicatatkan adalah 233km/j.

Apa yang lebih menarik mengenai jentera edisi terhad ini, ada satu butang khas di bawah papan pemuka yang akan mengeluarkan bunyi letupan ketika memerah enjin ke tahap maksimum.

Lebih mengujakan apabila butang ini turut disertakan amaran ‘untuk kegunaan di litar saja’ menyebabkan hampir sepanjang tempoh pandu uji penulis dihabiskan dengan mengaktifkan butang berkenaan.

Walaupun difahamkan bunyi berkenaan hanya ‘kosmetik’ untuk edisi ini, namun bunyi yang keluar menyebabkan kaki penulis seakan-akan tidak mahu melepaskan pedal minyak.


KABIN berlatar belakangkan warna hitam dan merah.

Semakin lama ditekan, semakin kuat bunyi letupan dan deruman yang dihasilkan dari corong ekzos.

Ini adalah sumbangan kecil daripada kejuruteraan asas JCW Pro Valve Silencer System dengan Kawalan Bluetooth 4.0.

Tetapi untuk merasai kesan sebenar letupan ini, boleh mencuba varian JCW sebenar yang khusus untuk mereka yang gemarkan kelajuan.

Memandunya tidak sesukar mana kerana kotak gear sport automatik enam kelajuan sentiasa bertindak cemerlang mengikut kepuasan pemandu.

Melihat pada sudut luaran pula, hampir keseluruhannya menerima sentuhan JCW termasuk jalur perlumbaan pada bonet hadapan.

Paling ketara adalah rim 17 inci JCW Track Spoke berwarna hitam yang menambahkan nilai sporty edisi terhad ini.


KERUSI sport sentuhan JCW.

Selain itu, gril hadapan dihiasi trim hitam piano manakala kit aerodinamik JCW menyelaputi keseluruhan tubuh jentera MINI ini.

Bahagian belakang masih mengekalkan rekaan perumah lampu belakang asal dengan corong ekzos berkembar berada di tengah jentera.

Selain itu, kamera pandang belakang yang jelas dan terang memudahkan pemandu memantau keadaan ketika mengundur atau memasuki parkir.

Melihat ke dalam kabin pula, gaya mewah dan premium menyelubungi setiap sudut bermula daripada ruang hadapan sehingga ke bahagian penumpang belakang.

Latar hitam dan jalur merah memonopoli setiap ruang terutama panel, kerusi, papan pemuka dan stereng.

Menambah ciri sporty, hiasan gentian karbon pada bahagian papan pemuka penumpang hadapan dengan emblem ‘Amplified Edition’ menjadikannya lebih menarik.

Paparan skrin MINI Excitement package yang bulat dan bulat di tengah-tengah papan pemuka mengembalikan semula nostalgia MINI termasuk perumah panel meter sfera.

Panel kawalan di papan pemuka berbentuk butang piano menjadikannya sangat unik dan berbeza daripada jentera lain.


PAPARAN meter bulat menjadi imej MINI.

Sistem pendingin hawa juga didatangkan dengan dwikawalan yang membolehkan pemandu dan penumpang melaras suhu mengikut keselesaan masing-masing.

Oleh kerana varian ini adalah cerminan kepada model JCW, stereng, tombol gear dan kerusi sport adalah rekaan JCW.

Namun, kerusi penumpang belakang yang terhad hanya boleh diduduki kanak-kanak atau orang dewasa bertubuh kecil.

Sepanjang tempoh memandu uji, penulis dapat merasai sendiri tujahan kuasa yang ditawarkan dan tiada kehilangan kuasa dirasakan.

Tahap kestabilan juga adalah yang terbaik dan kadangkala penulis merasakan seakan-akan memandu jentera go-kart.

Namun, untuk mereka yang mementingkan keselesaan, sistem suspensi varian ini keras kerana ditala untuk pengendalian yang stabil ketika di selekoh.

Walaupun berenjin turbo berkembar, faktor penjimatan tetap dititikberatkan oleh MINI.


BUTANG kawalan pada kokpit seakan-akan pesawat udara.

Model ini didatangkan dengan fungsi start/stop yang membolehkan enjin dimatikan ketika berhenti dan hidup kembali apabila pedal brek dilepaskan.

Selain itu, tiga mod iaitu Green, Normal dan Sport membolehkan pemandu memilih gaya pemanduan mengikut kesesuaian dan sekiranya faktor penjimatan menjadi keutamaan, mod Green adalah pilihannya.

Sekiranya mahu merasai perasaan seperti jentera JCW, tukar kepada mod Sport dan tekan butang khas untuk pengalaman pemanduan yang pasti tidak akan dilupakan.

Dengan harga RM248,888 tanpa insurans, ini adalah jentera yang paling menarik untuk mereka yang benar-benar mahukan kelajuan tanpa berkompromi terhadap gaya dan teknologi.

Bagaimanapun, penulis dimaklumkan oleh BMW Group Malaysia bahawa MINI Cooper Amplified Edition ini sudah habis dijual dalam tempoh singkat berikutan pelbagai ciri terbaik ditawarkan terhadap edisi kali ini.


RUANG but penyimpanan terhad.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Julai 2018 @ 12:15 AM