MINYAK sintetik penuh baru daripada Grantt.
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@nstp.com.my

Berpengalaman lebih 50 tahun menghasilkan minyak enjin dan pengeluaran produk tulen (OEM), UMW Grantt International memperkenalkan minyak sintetik penuh serba baru Grantt Stellar 8000 SAE 0W-20 API SN Plus.

Dirumus menggunakan teknologi ‘Knock Guard’ untuk kenderaan penumpang berprestasi tinggi selain perlindungan menyeluruh terhadap enjin dan kurang enapan.

Presiden Bahagian Pembuatan dan Kejuruteraan UMW Corporation, Megat Shahrul Azmir Nordin berkata, jenama Grantt dilancarkan tiga tahun lalu sangat dikenali pengguna pacuan empat roda terutama di Sabah dan Sarawak.

“Kini kami mula menawarkan minyak enjin bagi kegunaan kenderaan penumpang terdiri daripada jenis mineral, semi-sintetik dan sintetik penuh yang dihasilkan melalui pengalaman, kajian dan formulasi terbaik untuk enjin,” katanya pada majlis pelancaran.

Produk Grantt dibangunkan melalui kepakaran tempatan di makmal berteknologi tinggi di kilang pengeluaran mereka di Shah Alam, Selangor, yang turut mendapat pengiktirafan sijil ISO 9001:2008.

Teknologi julung kali diperkenalkan untuk pasaran tempatan itu menjadikan enjin kereta terutama Suntikan Terus Pengecas Turbo (TGDI) lebih bersih dan membantu penjimatan bahan api sehingga empat peratus melalui bahan aditif anti-oksida unik.

Ia juga memberi perlindungan dan ketahanan enjin melebihi 80 peratus bagi Pra-Nyalaan Kelajuan Rendah (LSPI), sesuai buat kenderaan enjin TGDI.

Grantt kini juga menawarkan produk menyeluruh untuk kenderaan penumpang, komersial, diesel dan motosikal termasuk minyak gear, gris dan hidraulik dengan lebih 500 pengedar di seluruh negara.

Selain pasaran tempatan, Grantt juga memasuki pasaran negara seperti Singapura, Brunei, Filipina, Kemboja, Vietnam, Indonesia, Thailand dan China.

Minyak pelincir sintetik penuh Grantt Stellar 8000 SAE 0W-20 API SN Plus dijual RM199 untuk empat liter dan selain itu, mereka menawarkan minyak premium mineral dan semi-sintetik pada harga bermula RM50.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Julai 2018 @ 12:01 AM