GARIS lentur pada tubuh Toyota C-HR memukau.
Mohd Razlan Salleh
mrazlan@nstp.com.my

Ketika mula diperkenalkan kepada umum pada penghujung 2016, kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota C-HR menggemparkan peminat permotoran seluruh dunia.

Betapa tidak, bentuknya yang cenderung menyerupai sebuah crossover memukau sesiapa sahaja yang melihatnya.

Berikutan sambutan hangat model berkenaan, UMW Toyota Motor Sdn Bhd tidak membuang masa apabila membuka tempahan lebih awal sebelum menyerahkan kunci kepada 50 pembeli pertama pada 22 Mac lalu.

Oleh kerana kenderaan ini laris bak pisang goreng panas, media turut terkesan apabila terpaksa menunggu lama selepas dimaklumkan UMW Toyota Motor bahawa senarai bagi unit pandu uji luar biasa panjangnya.

Mujur penulis tidak perlu menunggu lama apabila ditawarkan seunit C-HR berwarna biru metalik yang menggoda. Ketika kali pertama melihatnya, memang diakui SUV kompak ini memiliki daya penariknya tersendiri berbanding jenama lain yang sekelasnya.

Terdahulu, ramai yang bertanya, apakah makna di sebalik nama C-HR? Menurut UMW Toyota Motor, C-HR adalah singkatan bagi Compact High Rider atau Cross hatch Run-about yang menggambarkan gaya terbaru sebuah SUV.

Ciri luarannya kini menggunakan platform Toyota New Global Architecture (TNGA) yang kini banyak digunakan pada model baru Toyota.

Lihat saja bentuk lampu hadapan yang tirus hingga ke sisi manakala gril hadapan lebih besar di bahagian bampar. Perumah lampu hadapan didiami projektor Bi-Halogen dengan fungsi ‘follow me-home’ selain lampu nyalaan siang (DRL) LED.

Penulis beranggapan model ini pasti lebih menarik jika didatangkan bersama lampu utama berteknologi LED.

TOYOTA C-HR sesuai untuk pelbagai tujuan.

Bumbung hitam menimbulkan warna kontra yang menarik dan ciri ini adalah standard bagi warna biru dan merah manakala putih, kelabu dan hitam mengikut warna badan.

Pandangan sisi pula menampilkan ‘wheel arch’ yang lebar dengan pelindung sisi plastik yang tebal di bawah pintu.

Pemegang pintu belakang pula terletak pada bingkai tingkap sisi yang menampakkan model ini seakan SUV Coupe. Bahagian belakangnya lebih menonjol dengan perumah lampu belakang ‘terkeluar’ daripada badan dan menjadi identiti bagi C-HR.

Penulis juga menyedari wujud emblem ‘C-HR’ daripada cahaya yang dipancarkan melalui bahagian bawah cermin sisi.

Rim bersaiz 17 inci melengkapkan imej C-HR sebagai sebuah SUV yang maskulin.

Meninjau ruang kokpit, hiasan warna gelap memenuhi hampir segenap penjuru bagi mewujudkan suasana sporty.

Sebaik duduk di kerusi pemandu, mata tertumpu ke paparan pelbagai maklumat (MID) bersaiz 4.2 inci yang diapit sepasang meter optitron. Turut tersedia adalah ciri G-monitor yang memaparkan kadar daya-G ketika kenderaan berada dalam selekoh, memecut dan mengurangkan kelajuan.

Papan pemukanya bersifat futuristik dengan menempatkan corong dan unit kawalan pendingin hawa automatik serta skrin sentuh bersaiz tujuh inci. Skrin ini menjadi paparan untuk sistem audio, Wi-Fi, capaian Internet, pengecaman suara, sambungan HDMI, Bluetooth dan kamera undur.

Keselesaan ditambah dengan balutan kerusi kulit hitam premium untuk keselesaan sepanjang perjalanan.

KERUSI kulit premium menjadikan perjalanan lebih selesa.

Sepanjang lebih seminggu memandu uji, penulis tidak terasa sebarang kekurangan kuasa meskipun dijana enjin 1.8L 16 injap DOHC Dual VVT-i yang menghamburkan kuasa 140 PS pada 6,400rpm dan daya kilas maksimum 171 Nm seawal 4,000rpm.

Kelancaran kuasa ini dibantu kotak gear automatik tujuh kelajuan Sequential Shiftmatic CVT dengan Super ECT.

Tidak hairanlah kaki penulis kerap menekan pedal untuk merasai kuasa yang ada pada model SUV ini.

Walaupun kerap memecut, tahap penggunaan bahan api sangat memuaskan sungguhpun cara pemanduan sentiasa berubah. Tiga mod ditawarkan iaitu Sport, Normal dan Eco.

Antara ciri keselamatan didatangkan bersama model ini ialah tujuh beg udara, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), Kawalan Cengkaman (TC) dan Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA) serta Sistem Pemantauan Titik Buta (BSM).

Model ini juga dilengkapi Sistem Pemantauan Tekanan Angin Tayar yang akan memberi amaran sekiranya tekanan berkurangan selain Brek Parkir Elektrik (EPB) dan Kawalan Bantuan Mula Mendaki (HAC) untuk memudahkan pemandu mengawal kenderaan ketika mula bergerak.

Harganya bermula RM137,299.77 (tanpa insurans), sungguh berbaloi bagi sebuah model yang lengkap dengan pelbagai ciri keselamatan terkini, reka bentuk mengancam, enjin berkuasa dan selesa untuk lima penumpang.

TOMBOL gear berciri sporty.

TOYOTA C-HR 1.8L

• ENJIN: 2ZR-FBE 1,798cc empat silinder sebaris 16 injap DOHC dengan Dual VVT-i

• TRANSMISI: CVT tujuh kelajuan dengan Sequential Shiftmatic

• KUASA MAKSIMUM: 140PS @ 6,400rpm

• TORK MAKSIMUM: 171Nm @ 4,000rpm

• CIRI KESELAMATAN: Tujuh beg udara, ABS, VSC, TC, RCTA, BSM, EPB, HAC

• HARGA: RM137,299.77 (tanpa insurans)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Julai 2018 @ 12:02 PM