GAYA prestasi dan retro.
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@nstp.com.my

Menampilkan ciri Neo Sports Cafe, Honda CB1000R dan CB250R yang baru dilancarkan, menawarkan lebih banyak pilihan kepada pengguna motosikal dalam segmen Street Naked.

Direka dengan gabungan ciri retro dan sofistikated, ia meneruskan kesinambungan kehebatan model daripada keluarga CB sebelum ini dan mengekalkan gaya sentuhan klasik.

Honda CB1000R menampilkan super naked unik dengan perincian rekaan tradisional Jepun berkonsepkan minimalis serta pakej prestasi pada enjin dan casis.

Dikuasakan enjin 998cc empat silinder DOHC sejukan cecair, ia menjana 145PS pada 7,500 rpm dan daya kilas 104Nm pada 8,250rpm.

Jentera ini turut dipasang lampu hadapan nyalaan siang (DRL) berbentuk ladam kuda dan lampu signatur dua baris serta lampu belakang rekaan separuh bulatan kompak.

Untuk ciri terkini, topang hadapan dipadankan bersama Showa Separate Function Fr Fork Big Piston (SFF-BP) berfungsi mengasingkan lekukan jalan raya untuk kawalan lebih mantap.

Penyerap kejutan belakang Showa untuk larasan pra bebanan spring, mampatan dan redaman lantunan bagi keselesaan dalam pelbagai keadaan tunggangan atau permukaan jalan raya.

Sistem brek juga dengan angkup hadapan empat omboh pelekap jejari 310mm cakera terapung dipadankan bersama angkup omboh berkembar 256mm pada bahagian belakang dan dwi-saluran ABS.

Panel instrumen berbentuk T dengan kemasan logam sama seperti pelekap lampu disambung ke pelapik atas bagi meminimumkan bentuk dan saiz suis penghidup yang terletak di hadapan tangki.

CB1000R didatangkan bersama dua pilihan warna iaitu Hitam Graphite dan Merah Chromosphere Candy dijual pada harga RM74,999.


HONDA CB1000R.

Sementara itu, model CB250R adalah jentera sport naked sesuai buat yang mahu menaik taraf motosikal daripada moped dan street kepada kapasiti enjin lebih besar.

Dikuasakan enjin 250cc sejukan cecair silinder tunggal DOHC, motosikal seberat 145 kilogram memudahkan kawalan dengan casis ringan.

Menjana kuasa 28PS pada 9,000 rpm dengan daya kilas 23.3Nm pada 8,000rpm dilancarkan bersama transmisi klac manual enam kelajuan dan keselesaan tunggangan dibantu suspensi hadapan teleskopik dan lengan ayun monoshock pada bahagian belakang.

Model ini dilengkapi ciri premium yang kebanyakannya diperoleh pada model lebih besar seperti brek cakera hidraulik hadapan dan belakang dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), pemegang yang dipasang dengan pelapik getah, paparan instrumen LCD dan pencahayaan LED penuh.

CB250R dijual pada harga RM22,999 dengan tiga pilihan warna iaitu Perak Bullet Matt, Hitam Graphite dan Merah Chromosphere Candy.

Semua harga tidak termasuk insurans dengan jaminan dua tahun atau 20,000 kilometer (km) yang mana lebih dulu.


HONDA CB250F tampil ringkas dan bergaya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Julai 2018 @ 12:22 PM