BMW 740Le xDrive.
Mohd Razlan Salleh
mrazlan@nstp.com.my

BMW Group Financial Services Malaysia memperkenalkan kempen BMW Full Circle Recharged dan MINI Full Circle Urban Explorer untuk bantuan pembiayaan kenderaan BMW serta MINI.

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia Harald Hoelzl berkata, kempen baru itu kesinambungan Program Full Circle yang menawarkan pembiayaan inovatif.

“Inovasi diterapkan dalam BMW Group adalah berteraskan pelanggan bermula daripada kenderaan premium sehinggalah ke pakej servis.

“Program pembiayaan baru ini bermatlamat untuk terus menerajui industri automotif premium di negara ini bagi mencapai taraf mobiliti masa hadapan dengan program pembiayaan dan mobiliti menyeluruh,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Financial Services Malaysia Tobias Eismann berkata, bagi menampung permintaan pasaran yang tinggi terhadap kenderaan hibrid, pihaknya turut mengumumkan pelancaran kempen BMW Full Circle Recharged.


BMW X5 xDrive40e M Sport.

“Program pemilikan eksklusif ini dibangunkan secara khusus untuk rangkaian kenderaan model BMW iPerformance terdiri daripada BMW 330e M Sport, BMW 530e Sport, BMW 740Le xDrive dan BMW X5 xDrive40e M Sport.

“Antara kelebihan penawaran ini termasuklah pemilikan BMW 330e M Sport bermula daripada RM2,918 sebulan, BMW 530e Sport (RM3,908 sebulan), BMW 740Le xDrive (RM6,668 sebulan) dan BMW X5 xDrive40e M Sport pada kadar RM4,718 sebulan,” katanya.

Katanya, setiap permohonan yang berjaya melalui kempen BMW Full Circle Recharged, pemilik akan menerima set komplemen pakej BMW Life Recharged merangkumi Fitbit Charge 2 dan HoriznStudios edisi terhad bagi BMW Board Case 33L (bergantung pada terma dan syarat).


BMW 330e M Sport.

Dalam pada itu, program MINI Full Circle Urban Explorer menawarkan kenderaan MINI Cooper S Countryman Sports bermula daripada RM2,698 sebulan, memberikan pelanggan fleksibiliti dan jaminan lebih baik berkaitan pembiayaan.

Bagi pembelian jentera BMW atau MINI, Program Full Circle menawarkan pelbagai opsyen untuk pemilikan kenderaan yang menyeluruh, pada masa sama menjamin nilai kenderaan dibeli sepanjang tempoh pembiayaan yang dipersetujui.

Eismann berkata, Program Full Circle dicipta dengan memfokuskan kepada pelanggan supaya mereka mampu menikmati pengalaman pemilikan premium terbaik.

“Pelanggan mempunyai kehendak tersendiri berkaitan pembiayaan dan kami sedang melihat peralihan trend pembiayaan yang konvensional bagi tempoh lima tahun atau lebih kepada pembiayaan berteraskan pengalaman pemanduan moden.

“Ini membolehkan pelanggan menukar kenderaan mereka dalam tempoh dua hingga empat tahun tanpa perlu berunding mengenai harga tukar beli atau kereta terpakai,” katanya.

Eismann berkata, kempen Full Circle Recharged akan berakhir pada 31 Ogos depan.


MINI Cooper S Countryman Sports.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Julai 2018 @ 11:25 AM