HONDA Accord generasi terkini lebih maskulin.
Mohd Razlan Salleh
mrazlan@nstp.com.my


Tidak keterlaluan apabila penulis mengandaikan kenderaan jenama Honda jadi rebutan seperti pisang goreng panas.

Lihat sahaja mana-mana model dilancarkan sudah pasti mendapat permintaan daripada orang ramai tidak kira sama ada kompak, sedan, Kenderaan Pelbagai Guna (MPV) atau Kenderaan Utiliti Sukan (SUV).

Namun, fokus penulis kali ini ialah model sedan premium paling menonjol dalam keluarga Honda iaitu Accord.

Pengenalan versi baru Accord dengan teknologi Honda SENSING memberi impak terhadap model ini.

Sudah menjadi penanda aras Accord pasti hadir dengan susuk tubuh lebih besar dan tegap, sesuai dengan kelasnya untuk golongan eksekutif.

Peluang diberikan Honda Malaysia Sdn Bhd memandu uji varian 2.4 VTi-L Advance yang dilengkapi teknologi Honda SENSING.

Terdahulu, hanya ada dua varian Accord ditawarkan iaitu 2.0 VTi-L selain 2.4 VTi-L.

Model tertinggi dalam siri Accord ini digerakkan enjin 2.4L DOHC i-VTEC bersama teknologi Earth Dreams yang menghamburkan 172 kuasa kuda (hp) pada 6,200 rpm dan tork 225 Nm pada 4,000 rpm.

Namun, Honda masih mengekalkan transmisi automatik lima kelajuan seperti model sebelumnya.

Apa yang menariknya bagi varian ini sudah pastinya Honda SENSING. Apa itu Honda SENSING?

Ok, untuk memudahkan pembaca, teknologi pintar ini boleh diibaratkan ‘mata ketiga’ pemandu dalam mengawal kenderaan.

Teknologi pintar ini dikawal radar dan kamera yang membantu pemandu mengesan mengenali situasi semasa jalan raya, seterusnya memberi amaran supaya pelanggaran dapat dielakkan.


BUT belakang luas.

Honda SENSING

Honda SENSING membantu pemanduan lebih selamat dan selesa merangkumi beberapa fungsi seperti Amaran Keluar Lorong (LDW), Sistem Bantuan Kekal Lorong (LKAS), Sistem Mitigasi Keluar Daripada Jalan (RDM), Sistem Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW), Sistem Brek Mitigasi Pelanggaran (CMBS), Kawalan Pemanduan Adaptif (ACC) dan Sistem Mengikuti Kenderaan.

Setiap sistem ini mempunyai tugasnya yang tersendiri dan penulis akan ulas satu persatu.

LDW menjadikan stereng bergetar dan memberi amaran apabila pemandu terkeluar daripada lorong manakala LKAS memberi input ketepatan stereng untuk mengekalkan kenderaan di tengah lorong dan RDM pula membantu mengawal stereng daripada terus terkeluar daripada lorong.

Sistem pencegahan pelanggaran ini dibantu FCW yang memberi amaran apabila terdapat risiko dengan kenderaan hadapan, seterusnya ACC menetapkan kelajuan dari jarak di belakang kenderaan.


HONDA LaneWatch Camera atasi masalah titik buta.

CMBS pula akan berfungsi secara automatik apabila mengesan risiko pelanggaran manakala Sistem Mengikuti Kenderaan membolehkan kenderaan bergerak dan berhenti secara automatik mengikut keadaan lalu lintas.

Dalam erti kata lain, sekiranya penulis memandu dengan kelajuan 100 kilometer sejam (km/j) dan di hadapan ada kereta bergerak 90 km/j, Accord akan menurunkan kelajuan secara automatik mengikut jarak ditetapkan.

Malah, bunyi amaran akan terhasil sekiranya FCW mengesan potensi pelanggaran untuk menyedarkan pemandu.

Sekiranya jarak terlalu dekat, CMBS akan berfungsi dengan mengaktifkan brek secara berterusan untuk memastikan pelanggaran tidak berlaku.

LKAS berfungsi melalui kamera akan membaca penanda antara lorong untuk memastikan kenderaan kekal di tengah lorong.

Sekiranya terkeluar lorong, LDW akan mengeluarkan bunyi amaran kepada pemandu.

RDM berfungsi mengaktifkan brek dan bantuan stereng apabila kamera mengesan kenderaan itu terlalu hampir dengan sisi jalan.


PAPARAN meter terang dan jelas.

Prestasi hebat

Enjin berkapasiti 2.4L Teknology Earth Dream tidak perlu dipertikaikan lagi apabila kuasa dihasilkan memadai untuk sebuah sedan ‘bertukar’ ke jentera sport.

Penulis tidak memerlukan tujahan keras ke pedal minyak untuk menghasilkan kuasa serta merta yang pantas.

Untuk lebih teruja, tukar saja mod pemanduan ke Mod Sport dengan kawalan gear sendiri menerusi pedal penukar gear di belakang stereng.

Mengenai keselesaan, Accord mendahului pesaingnya apabila menawarkan keselesaan optimum kepada pemandu dan penumpang.

Sistem suspensi Accord menggunakan topang MacPherson di hadapan dan Multi-link di belakang untuk kawalan dan keselesaan maksimum.

Ciri futuristik

Untuk bahagian hadapan, gril berserta gaya baharu Solid Wing Honda bersama bar krom tebal menyerlahkan gaya moden.

Bar krom ini diapit sepasang perumah lampu utama LED bersama pelarasan automatik dan lampu nyalaan siang (DRL) LED.

Bahagian belakang turut mengalami perubahan segar dengan beberapa elemen baru diterapkan antaranya trunk lid yang ditampilkan rekaan krom seperti bersambung dengan perumah lampu belakang.


PERUMAH lampu hadapan bergaya.

Selain itu, elemen baharu termasuk lampu belakang LED, lampu kabus dan bampar belakang dengan rekaan krom.

Menerjah ke ruang kabin, kemasan kayuan menyambut mata penulis dan skrin paparan pelbagai-info (i-MID) berwarna bersaiz 7.7 inci baru dan skrin sentuh tujuh inci bagi audio dengan Apple CarPlay dan Android Auto menghiasi papan pemuka.

Selain itu, panel instrumen juga ditampilkan dengan gayaan yang lebih segar.


RUANG kokpit yang selesa.

Bahagian kokpit ditampilkan kemasukan pintar butang penghidup enjin, butang ECON, One-touch Lane Change, kawalan kelajuan, cermin pandang belakang dengan anti silau dan pendingin hawa dwi-zon.

Selain itu corong pengdingin hawa tempat duduk belakang, soket MP3/iPod/USB/HDMI, kawalan bebas tangan bagi telefon bimbit dan pengesan suara, sistem bunyi premium dengan subwoofer dan enam-pembesar suara serta roda stereng tiga jejari balutan kulit.

Bagi aspek keselamatan, Accord dilengkapi enam beg udara, Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA), ABS dengan EBD, Bantuan Mula Mendaki (HSA), Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS), dua pengesan sudut hadapan, empat pengesan sudut belakang dan cagak ISOFIX.


KELEGAAN terbaik untuk penumpang belakang.

Accord 2.4 VTi-L menerima elemen keselamatan premium seperti Kamera Pandang Belakang Pelbagai-Sudut, Honda LaneWatch Camera, Active Cornering Light dan Hydrophilic Door Mirror.

Berharga RM159,114 tanpa insurans dan GST, Accord didatangkan dengan pilihan warna seperti Kelabu Modern Metalic, Hitam Crystal Pearl, Biru Obsidian Pearl, Perak Lunar Metallic dan warna premium Putih Orchid Pearl.


SKRIN maklumat berkembar mengujakan.

HONDA ACCORD 2.4 VTI-L HONDA SENSING

• ENJIN: 2,356cc Empat Silinder 16 Injap DOHC i-VTEC Earth Dreams Technology

• KUASA MAKSIMUM: 175PS @ 6,200rpm

• TORK MAKSIMUM: 225Nm @ 4,000

• CIRI KESELAMATAN: Honda SENSING, enam beg udara, VSA, ABS , EBD, HSA, ESS, Kamera Pandang Belakang Pelbagai-Sudut, Honda LaneWatch Camera, Active Cornering Light dan Hydrophilic Door Mirror.

• HARGA: RM159,114 tanpa insurans dan GST


BUTANG kawalan pendingin hawa dwi-zon.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Jun 2018 @ 3:12 AM