LEBIH ruang dan praktikal.
ENJIN 2.0 liter dengan sistem hibrid kompak.
TEMPAT duduk kapten gaya premium.
PANEL instrumen ciri terkini.
GAYA MPV sporty.
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@nstp.com.my


Keperluan memiliki kenderaan sama ada membawa ramai penumpang bersama muatan dilihat sangat penting terutama mereka yang mempunyai keluarga besar untuk sama-sama pulang ke kampung atau destinasi tertentu.

Untuk tujuan itu, kenderaan pelbagai guna (MPV) adalah pilihan bersesuaian kerana selain mempunyai kapasiti muatan tujuh tempat duduk, ia juga menawarkan ruang dalaman fleksibel.

Antara model MPV saiz pertengahan yang popular ialah Nissan Serena S-Hybrid serba baru (C27) yang baru dilancarkan.

Model generasi kelima ini tidak saja mempunyai rekaan gaya sporty, ditambah pula pelbagai ciri terkini yang memberikan kemudahan dan keselamatan kepada setiap penumpang. Penulis berpeluang memandu uji varian Premium Highway Star, satu daripada dua varian ditawarkan.

Melihat pada rekaan luaran, Serena S-Hybrid masih mengekalkan asas sama termasuk platform daripada model terdahulu tetapi diperbaharui pelbagai aspek.

Ini boleh dilihat pada bampar hadapan baru serta gril hadapan V-Motion, lampu utama LED dua lapisan, lampu signatur dan belakang LED dengan bentuk S serta rekaan ‘bumbung terapung’ yang membezakannya dengan generasi sebelum ini.

Untuk varian premium ini, ia didatangkan dengan rim aloi 16 inci potongan berlian dan pintu belakang dwibukaan bukan sahaja memudahkan penyimpanan barangan terutama ketika parkir di lokasi sempit.

Pintu gelongsor elektrik dua bahagian dilengkapi pengesan kaki boleh beroperasi dengan hanya satu pergerakan dan penulis mencubanya terutama ketika muatan penuh di tangan, pintu boleh dibuka dengan mudah dan sangat membantu.

Ruang dalaman adalah kelebihan utama MPV ini dengan 180 milimeter (mm) lebih panjang, 20mm tinggi dan 65mm lebar daripada model terdahulu.

Nissan Serena S-Hybrid menawarkan tujuh tempat duduk dengan 13 konfigurasi bagi keperluan untuk penumpang atau membawa muatan dan tempat duduk kapten pada baris kedua kelihatan lebih premium.

Baris tempat duduk ketiga kini lebih mudah untuk urusan keluar masuk dengan tiang C dilebarkan 50mm bagi bukaan pintu gelongsor lebih luas serta dilengkapi suis pintu dan ‘Step Release’ bagi menggerakkan tempat duduk baris kedua.

Papan pemuka dengan panel instrumen kemasan lembut tampil moden dan bergaya seperti Paparan Bantu Pemandu (ADAD) bersaiz tujuh inci berwarna untuk maklumat perjalanan dan roda stereng balutan kulit rekaan sporty dengan fungsi butang kawalan jelajah dan maklumat ADAD.

Untuk sistem hiburan, ia dilengkapi dengan paparan skrin sesentuh Clarion 6.75 inci termasuk ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto melalui telefon pintar untuk telekomunikasi lebih mudah.

Skrin ini juga berfungsi sebagai monitor untuk filem kegemaran anda ditayangkan selain bersaiz 10.1 inci pada siling untuk tontonan penumpang.

Ruang simpanan barangan untuk pemandu dan penumpang hadapan juga disediakan serta lapan tempat pemegang cawan, tujuh port USB bagi kemudahan mengecas menjadikan perjalanan lebih menyeronokkan.

Pendingin hawa dua zon automatik dengan panel belakang larasan digital menjanjikan keselesaan berterusan daripada barisan hadapan hingga ketiga.

Untuk kuasa enjin, Serena S-Hybrid serba baru ini dikuasakan enjin 2.0L Kawalan Pemasaan Pembolehubah Injap Berterusan (CVTC) dengan padanan Transmisi Pembolehubah Berterusan (CVT) XTRONIC serta Kawalan Anjakan Adaptif (ASC) menjana kuasa 150PS pada 6,000rpm dan daya kilas 200Nm pada 4,400rpm.

Sistem hibrid kompak Serena serba baru ini terdiri daripada motor Eco dipertingkatkan yang mengawal sistem henti melahu (idling) selain memberi daya kilas tambahan ketika pecutan dari kelajuan sifar serta bertindak sebagai unit alternator ketika nyah-pecutan untuk memudahkan pemulihan tenaga berterusan.

Serena juga dipasang dengan Dual Arm Tensioner (DAT) yang melegakan tekanan terhadap arm belt bagi mengurangkan kehilangan kuasa dan geseran untuk meningkatkan penjimatan bahan api sehingga 13 peratus atau sekitar 14.2 kilometer per liter (km/l) dan mendapat penarafan kenderaan cekap tenaga (EEV).

Penulis mencubanya untuk pemanduan berbukit dengan tujuh penumpang dan MPV ini mampu mendaki dengan lancar tanpa sebarang kehilangan kuasa dan sesuai sebagai kenderaan keluarga.

Secara keseluruhannnya, Nissan Serena S-Hybrid serba baru ini adalah pilihan ideal untuk mereka yang berkeluarga terutama berikutan ruang dalaman yang praktikal dan selesa untuk perjalanan dekat atau jauh.

Ciri keselamatan terbaik ditawarkan dengan enam beg udara SRS, Kawalan Dinamik Kenderaan (VDC), Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Bantu Brek (BA) dan ISOFIX.

Nissan Intelligent Mobility (NIM) terdiri daripada I-VAM untuk pandangan 360 darjah dari atas untuk navigasi, I-MOD yang mengesan dan amaran kepada pemandu objek bergerak di sekililing, I-DA adalah amaran kepada pemandu yang mengantuk atau tidak fokus menjadikan MPV ini antara yang termaju dalam kelasnya.

Untuk varian Premium Highway Star pula hadir dengan rekaan warna luaran dua tona seperti badan Putih Brilliant dan bumbung Hitam Diamond, badan Perak Tungsten dan bumbung Hitam Diamond serta badan Emas Cashmere dan bumbung berwarna Umber Imperial.

Premium Highway Star juga ditawarkan melalui kombinasi kulit pada tempat duduk dengan pilihan warna dua tona Coklat Truffle dan Chestnut atau Hitam saja, Panel LCD bersaiz 10.1 inci yang dipasang pada bumbung, alas dulang Tech-on (untuk meja personal), perakam video pemanduan (DVR), lampu bumbung LED, lapisan filem keselamatan V-KOOL 4Mil, rim aloi bersaiz 16 inci serta visor pintu.

Nissan Serena S-Hybrid serba baru ditawarkan pada harga RM139,200 untuk varian Premium Highway Star dan RM127,900 bagi Highway Star (tanpa insurans) dengan jaminan lima tahun tanpa had perbatuan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Jun 2018 @ 5:45 AM