PENGELUAR kenderaan bersaing tawar harga, promosi menarik.
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@nstp.com.my


Selepas kerajaan mengumumkan penetapan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada kadar sifar berkuatkuasa 1 Jun ini, pengeluar kenderaan mula menawarkan harga menarik untuk melariskan produk mereka.

Paling awal menawarkan rebat istimewa ialah UMW Toyota Motor Sdn Bhd apabila mengumumkan harga baru kesan daripada kadar baru GST. Presidennya, K Ravindran berkata, semua faedah pengurangan daripada struktur cukai baru akan diserap dalam harga jualan kenderaan Toyota dan Lexus.

Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) Sdn Bhd pula mengumumkan harga jualan terbaru de­ngan pengurangan antara RM4,000 hingga RM17,000, bergantung pada model.

Pengarah Urusannya, Erik Winter berkata, harga berkenaan bermula 1 Jun dan kekal sehingga Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dilaksanakan kerajaan pada masa akan datang.

“Ini adalah masa terbaik untuk orang ramai memiliki kenderaan Volkswagen dengan harga jualan terbaik termasuk promosi Aidilfitri dan kempen lain yang sedang berlangsung,” katanya.

Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) turut mengambil langkah termasuk menawarkan e-baucar kepada pelanggan yang melakukan servis dan pembelian alat ganti di semua Pusat Servis PERODUA bermula 19 Mei lalu.

Pengarah Urusan PERODUA Sales Sdn Bhd, Datuk Dr Zahari Husin berkata, rebat GST ini sebagai komitmen kepada pelanggan yang sentiasa menyokong PERODUA.

“Kami berharap orang ramai mengambil kesempatan ini untuk memiliki kenderaan baru atau melakukan servis di 179 pusat jualan sah PERODUA di seluruh negara,” katanya.

PROTON Holdings Berhad juga menawarkan pelanggannya baucar perkhidmatan yang mempunyai nilai bersamaan kepada perbezaan antara harga sebelum dan selepas GST.

Naib Presiden Jualan dan Pemasaran PROTON, Abdul Rashid Musa berkata, inisiatif ini memberikan faedah kepada pembeli kereta untuk membayar pada harga kadar sifar GST sebelum SST dilaksanakan.

“Kami menawarkan kepada pelanggan pilihan lebih awal untuk mereka menerima faedah sama ada dalam bentuk baucar perkhidmatan atau rebat tunai yang boleh diguna pakai untuk semua kereta PROTON yang dibeli atau didaftarkan bermula 16 hingga 31 Mei,” katanya.

Tidak terkecuali, Honda Malaysia menawarkan harga menarik sempena sifar GST bgi pembelian model terpilih. Untuk kelegaan, setiap pelanggan yang membeli model baru dari 18 hingga 31 Mei, Honda Malaysia akan menyerap nilai GST enam peratus yang menjadi harga bonus bagi kenderaan baru sebelum Aidilfitri.

Antara model yang ditawarkan ialah Honda City (Petrol), Civic, CR-V dan HR-V manakala Jazz, BR-V, Accord, Odyssey, Civic Type R, Jazz Hybrid dan City Hybrid ditawarkan dengan promosi ‘Welcome Ramadhan Rewards’.

Jualan kenderaan premium juga tidak terkecuali apabila BMW, MINI dan BMW Motorrad menetapkan harga kenderaan pada sifar GST sehingga makluman lanjut diumumkan kerajaan.

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia, Harald Hoelzl berkata, pihaknya menyahut kenyataan kerajaan dengan positif apabila menawarkan pengurangan harga selain meneruskan berusaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

“Selain perubahan harga, BMW Group Malaysia mahu memastikan pelanggan terus menikmati pengalaman Pemilikan Premium seperti Waranti Perbatuan Tanpa Had Lima Tahun dan empat tahun oleh MINI serta Program Servis Berjadual Percuma,” ujarnya.

Go Auto Sales Sdn Bhd, selaku pengedar dan pemasang kenderaan Haval di Malaysia, tidak mahu ketinggalan apabila menawarkan penjimatan sehingga RM9,500.

Pengarah Eksekutif Go Auto Group, Datuk SM Azli SM Nasimuddin Kamal berkata, tawaran bermula 20 Mei sehingga 30 Jun adalah masa terbaik mendapat­kan kenderaan baru dengan pelbagai tawaran menarik.

Pengedar kenderaan Ford, Sime Darby Auto Connexion (SDAC), juga menawarkan pengurangan harga untuk semua rangkaian model keluarannya sehingga RM33,000.

Selain harga baru sifar GST, SDAC yang menyambut ulang tahun ke-10 juga menyediakan promosi pembelian model Mustang dan kempen ‘Raya Joy & Enjoy’ dengan pelbagai hadiah menarik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mei 2018 @ 3:59 AM