Lizam Ridzuan
lizamridzuan@nstp.com.my

Moped berkuasa paling tinggi dalam segmennya diperkenalkan oleh SYM Malaysia untuk pasaran tempatan melalui model SYM VF3i yang dilancarkan baru-baru ini.

Dikuasakan dengan enjin 185cc silinder tunggal SOHC empat lejang penyejukan cecair juga menepati piawaian alam sekitar Euro 3, mampu menghasilkan kuasa sehingga 17.7 hp pada 8,500 rpm.

Motosikal ini juga dipadankan dengan transmisi enam kelajuan dengan fork hadapan teleskopik, penyerap hentakan tunggal dengan gegelung spring untuk belakang serta brek cakera tunggal 250 milimeter (mm) hadapan dan belakang (200 mm) untuk kemantapan membrek dengan lebih selamat.

Kelebihan utama model ini, tangki bahan api sehingga tujuh liter sesuai untuk perjalanan jauh dan dengan reka bentuk aerodinamik mengurangkan rintangan angin ketika menunggang.

Antara ciri lain SYM VF3i ialah lampu hadapan LED dengan fungsi lampu nyalaan siang (DRL) mudah dan terang dilihat sepanjang masa serta lampu belakang ciri sporty serta paparan meter gabungan digital dan analog yang bergaya.

Dua varian ditawarkan harga bermula daripada RM7,988 (standard) dan RM8,228 (Edisi Khas - SE) dengan pilihan warna merah, biru dan hitam matte (SE).


MOPED paling berkuasa SYM VF3i.

Selain moped dua model lagi daripada segmen skuter turut dilancarkan SYM JET 14 dan SYM Cruisym 250i dengan rekaan moden serta ciri diperlukan untuk penunggang di negara ini.

Untuk model SYM Jet 14 berkapasiti enjin 125 cc empat lejang sejukan udara CVT dengan Euro 4 menawarkan kuasa 10hp pada 8,500 rpm dan daya kilas 9.2 Nm pada 7,000 rpm.

Ia juga dipadankan dengan reka bentuk lampu berkembar, lampu belakang 3D LED, papan pemuka tiga lingkaran, cangkuk tersembunyi dan kotak dalaman tertutup memuatkan satu topi keledar berharga RM6,688 dengan pilihan warna merah, biru dan putih.


SKUTER JET 14 dengan 125 cc.

Untuk skuter SYM Cruisym 250i dengan rekaan futuristik serta enjin 250cc sejukan cecair SOHC yang menepati piawaian Euro 4 dilengkapi Sistem Brek Anti-Kunci (ABS).

Antara ciri-ciri terkini adalah cermin sisi dan pelindung angin boleh laras serta lantai kaki 40 hingga 45 darjah ergonomik bagi keselesaan perjalanan jarak jauh.

Ia juga dilengkapi dengan corong udara kedua-dua bahagian, kotak sarung tangan, port USB dengan pengecas 12V dan ruang simpanan bawah tempat duduk mampu memuatkan dua topi keledar, baju hujan dan barangan peribadi lain.

SYM Cruisym 250i ditawarkan dalam dua varian iaitu Standard dan Edisi Khas (SE) boleh didapati dalam warna kelabu matte, putih (SE) dan merah dijual pada harga RM18,888 (Standard) dan RM19,188 (SE).


CRUiSYM 250i.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mei 2018 @ 2:06 AM