KIA Sportage 2.0 EX.
Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@nstp.com.my

Pengedar sah jenama Kia, Naza Kia Malaysia memperkenalkan varian baru bagi rangkaian Kia Sportage dikenali sebagai New Sportage 2.0 EX.

Model SUV kompak itu menawarkan peningkatan hebat daripada aspek spesifikasi dengan reka bentuk luar biasa, rekaan dalaman terkini dan teknologi termaju yang menawarkan pengalaman pemanduan tiada tandingan.

Menurut kenyataan dikeluarkan, Kia Sportage 2.0 EX mempunyai reka bentuk baru yang segar dengan roda aloi 18 inci, sensor meletak kenderaan hadapan dan belakang, sensor hujan dan cermin sisi lipatan auto dengan pengulang sampingan.

SUV ini turut dipertingkatkan dengan ciri moden seperti kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin dan penyaman udara automatik sepenuhnya selain sistem audio lima inci pada papan pemuka digantikan dengan sistem audio skrin sentuh tujuh inci baru dengan Android Auto dan Apple CarPlay.

KIA Sportage 2.0 EX yang lebih sporty.

Kia Sportage EX 2.0 dilengkapi Electrochromic Mirror (ECM) yang berfungsi menggelapkan cermin pandang belakang secara automatik bagi mengurangkan gangguan atau kesan silau terhadap pemandu.

Antara ciri keselamatan ditawarkan termasuklah enam beg udara, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) dan Kawalan Mula Mendaki (HAC) selain kerangka Advanced Steel Strength Advanced (AHSS). Model terbaru ini boleh didapati di pasaran pada harga bermula RM129,888 dengan pilihan warna hitam, biru, merah, putih dan perak.

New Sportage 2.0 EX turut didatangkan dengan jaminan lima tahun dengan tiada had perbatuan.

Dengan pengenalan varian terbaru ini, varian Sportage GT Petrol 2WD dan Sportage KX dihentikan serta merta.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Mac 2018 @ 9:30 AM