JENTERA Vios yang bersaing dalam Vios Challenge.
Mohd Razlan Salleh
mrazlan@hmetro.com.my

Vios Challenge yang bertandang ke Johor bagi separuh kedua musim perlumbaannya, dan berakhir semalam, menyaksikan lebih banyak cabaran dan aksi menarik.

Ini berikutan setiap pelumba cuba merebut kejuaraan dalam Vios Challenge sepanjang Toyota Gazoo Racing berlangsung.

Saingan sengit jelas terpapar di litar dalam bandar di Medini City, Iskandar Puteri, apabila setiap pelumba berusaha mengumpul mata untuk menjarakkan diri dengan pesaing masing-masing.

Litar yang asing dan kemampuan sama rata jentera Vios menjadikan hanya kemahiran mengendalikan kenderaan memisahkan kedudukan antara mereka.

Formula perlumbaan seperti ini berjaya menonjolkan aksi mendebarkan seperti dapat dilihat dalam dua perlumbaan terdahulu di Batu Kawan, Pulau Pinang dan MAEPS, Selangor.

Presiden UMW Toyota Motor, K Ravindran berkata, perlumbaan Vios Challenge mewujudkan peningkatan tahap persaingan antara pelumba dari semasa ke semasa.

“Kehangatan mula dirasai sejak perlumbaan pertama baik bagi pengunjung atau pelumba dalam ketiga-tiga kelas yang mempamerkan aksi pemanduan berkualiti.

“Ia pengalaman menakjubkan dan dialami sendiri semua peminat sukan perlumbaan,” katanya.


ANTARA jentera dalam kategori Sporting Vios Challenge.

Terdahulu, ketika saingan pertama di Batu Kawan, Kategori Promotional diungguli Shawn Lee tetapi kesilapan kecil dilakukannya ketika perlumbaan terakhir di MAEPS menyaksikan kereta dipandunya berpusing.

Peluang keemasan itu tidak dilepaskan Shukri Yahaya yang memanfaatkan kesilapan berkenaan untuk muncul juara.

Kemenangan itu meletakkan Shukri hanya lima mata di belakang Shawn manakala tempat ketiga kekal milik Danny Koo yang masih ketinggalan 14 mata.

Semua pemandu berpeluang muncul juara termasuk Diana Danielle, satu-satunya pemandu wanita yang berjaya menaiki podium dan berada pada kedudukan keempat keseluruhan.

Bagi kategori Sporting pula, aksinya tidak kurang mendebarkan apabila menyaksikan muka baru, Brendan Anthony daripada pasukan Dream Team meraih tempat podium selepas mencapai kemenangan sulung di Pulau Pinang manakala pusingan kedua di Selangor diungguli Patrick Tam daripada Team Nanoplus.


SHUKRI bersama jentera miliknya yang meraih tempat podium pada pusingan kedua di MAEPS.

Begitupun, kedudukan keseluruhan kategori berkenaan masih dikuasai Brandon Lim daripada pasukan Tedco Racing dengan 57 mata.

Bagi kategori Super Sporting pula, saingannya lebih sengit antara tujuh pemandu profesional yang terpisah hanya dengan perbezaan 20 mata.

Tengku Djan masih kekal mengungguli persaingan dalam kategori ini walaupun hanya mengumpul sembilan mata ketika perlumbaan ter­akhir tahun lalu di Selangor.

Namun demikian, kelompok pelumba elit terutama Mitchell Cheah, William Ho, Mark Darwin, Shafiq Ali, Boy Wong dan Ser Ming Hui masih mempunyai peluang mencabar Raja Drift Malaysia itu berebut gelaran juara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 January 2018 @ 1:39 AM