VIOS Challenge menjadi acara utama Festival Toyota Gazoo Racing.
DERETAN jentera lumba Toyota Vios.
AKSI ketika latihan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
BARISAN selebriti yang berjaya memperoleh lesen perlumbaan daripada TRD Jepun.
Mohd Razlan Salleh
mrazlan@hmetro.com.my


Demam perlumbaan kini bermula apabila 24 pemandu berjaya menamatkan pengajian mereka di Sekolah Perlumbaan Vios Challenge dan bersedia mempamerkan bakat serta pengalaman dalam perlumbaan sulung Vios Challenge yang bakal berlangsung di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang pada 12 dan 13 Ogos depan.

Antara pelajar yang berjaya menamatkan pengajian ialah enam pelumba selebriti iaitu Fattah Amin, Diana Danielle, Shukri Yahaya, Janna Nick, Geraldine Gan dan Danny Koo.

Turut menerima sijil daripada Toyota Racing Development (TRD) dari Jepun adalah Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama.

Sijil kelayakan berlumba diserahkan Presiden UMW Toyota Motor, K Ravindran.

Menurut Ravindran, pihaknya percaya sukan permotoran adalah cara berkesan membangunkan bakat pemandu, selain kemampuan jentera.

“Mencapai kejayaan dalam litar perlumbaan adalah untuk mengetahui batas dan mencari keseimbangan di antara individu serta jentera secara kolektif.

“Tiada komponen yang boleh melebihi antara satu sama lain. Dengan ilmu pemanduan lengkap, kami berharap peserta dapat memanfaatkan kelebihan dan potensi sebenar kereta lumba Toyota Vios dengan selamat serta bertanggungjawab ketika di litar,” katanya.

Terdahulu sepanjang kursus berkenaan, semua pelajar didedahkan mengenai perkara asas seperti protokol keselamatan dan perlumbaan, teknik betul mengendalikan kenderaan serta cara terbaik mengekalkan garisan lumba.

Pelajar juga dilengkapi ilmu pengetahuan diperlukan untuk membolehkan mereka menyertai perlumbaan dengan selamat sebaik perlumbaan bermula.

Untuk mencipta platform perlumbaan sama rata dan akan menjadi lebih selamat kepada semua pemandu selain pengalaman menonton yang lebih mengujakan kepada peminat sukan permotoran, Vios Challenge akan dibahagikan kepada tiga kelas perlumbaan.

Antaranya, 10 pelumba akan bersaing dalam Kategori Super Sporting, manakala 17 pelumba bersaing dalam Kategori Sporting.

Baki 10 pelumba akan menyertai Kategori Promosi.

Setiap kategori membabitkan perlumbaan dua pusingan dengan mata diberikan bagi kedudukan tertinggi untuk setiap pusingan dengan jarak litar sepusingan 1.65 kilometer mengikut arah pusingan jam.

Litar rekaan ini menampilkan sembilan selekoh dengan laluan lurus terpanjang sejauh 156 meter.

Perlumbaan Vios Challenge menjadi acara utama Festival Toyota Gazoo Racing (TGR) selain aktiviti lain termasuk pertunjukan drift, persembahan selebriti, trak makanan, sesi pandu uji dan penampilan istimewa model SUV terbaru Toyota C-HR.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Julai 2017 @ 1:25 AM