DILENGKAPI sistem brek ABS.
RUANG simpanan bawah tempat duduk.
PANEL meter LCD dan sistem Start dan Stop.
SOKET elektrik tersedia.
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my


Pasaran jualan skuter yang semakin meningkat menyaksikan banyak jenama mula menyediakan pelbagai model. Terkini Yamaha NVX dilancarkan untuk pasaran tempatan.

Dikuasakan enjin Blue Core 155cc empat lejang sejukan cecair SOHC automatik dengan Variable Valve Actuation (VVA), meletakkan ia dalam kategori skuter saiz pertengahan premium sesuai dengan teknologi dan rekaan ditawarkan.

Yamaha NVX juga motosikal pertama daripada jenama itu yang menerima penarafan Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) turut dilengkapi sistem mula dan henti yang akan mematikan enjin di lampu isyarat serta akan hidup kembali secara lembut dengan sedikit putaran pendikit untuk penggunaan bahan api yang efisien.

Antara ciri lain ialah panel meter LCD bersaiz 5.8 inci, ruang simpanan sehingga 25 liter yang boleh memuatkan topi keledar serta barangan peribadi lain memudahkan penunggang.

Lampu hadapan dan belakang LED pula jelas pada sebarang waktu untuk penglihatan lebih baik, ruang simpanan mini dengan soket elektrik serta brek hadapan dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) menyerlahkan lagi gaya.

Pengarah Urusan Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd, Datuk Jim Khor berkata, sejak dipertontonkan kepada umum ketika perlumbaan MotoGP tahun lalu, model ini mendapat maklum balas menakjubkan termasuk tular di laman sosial.

“Yamaha NVX tampil sporty sesuai dengan sasarannya untuk pengguna yang lebih muda bagi menawarkan tunggangan berprestasi dan dalam masa sama jimat penggunaan petrol serta dilengkapi ciri keselamatan terbaik,” katanya ketika pelancaran.

Bagi menambah ciri terkini motosikal ini juga dipasang dengan sistem kunci pintar dengan ‘Immobilizier’ bagi memudahkan ia dikesan terutama di parkir yang luas. Untuk kelancaran tunggangan ia menggunakan tayar tanpa tiub lebar dengan ukuran hadapan 110/80-14M/C 53P dan belakang 140/70-14M/C 62P bagi memberi kestabilan dan tampil sporty.

Tiga warna ditawarkan iaitu biru, merah dan hitam Yamaha NVX dijual pada harga RM10,500 (termasuk GST) dengan jaminan setahun atau 10,000 kilometer yang mana lebih dahulu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Julai 2017 @ 1:20 AM