PERIGI yang sudah ‘ditawan’ laut.
Ahmad Rabiul Zulkifli
am@hmetro.com.my


KUALA NERUS: Pantai Pengkalan Maras, Batu Rakit di sini, diancam kerosakan lebih serius berikutan fenomena air pasang besar dan tiupan angin Monsun Timur Laut dijangka berlarutan hingga hari ini.

Tinjauan Harian Metro mendapati sebuah kedai, perigi berusia lebih 30 tahun dan taman permainan kanak-kanak di pantai itu mengalami kerosakan teruk akibat hakisan bermula Jumaat lalu.

Penduduk, Che Muhamad Salleh, 54, berkata, hakisan berlaku di pantai berkenaan tahun ini dianggap paling serius.

“Jika fenomena ombak besar dan tiupan angin Monsun Timur Laut berterusan, kebarangkalian besar kawasan di sepanjang pantai ini akan musnah.

“Setiap hari, semakin banyak daratan ditelan akibat ombak besar yang biasanya bermula jam 10 malam hingga ke lewat pagi,” katanya ketika ditemui di Pantai Pengkalan Maras, semalam.

Che Muhamad berkata, dia kerap ke pantai itu sejak dua minggu lalu kerana ingin melihat perubahan yang berlaku akibat hakisan.

KEADAAN kedai makan celup tepung yang runtuh dipukul ombak besar.

“Satu demi satu binaan dan kemudahan berhampiran pantai ditelan ombak, terbaru perigi dianggarkan berusia lebih 30 tahun turut terjejas teruk.

“Kelmarin (Jumaat), perigi itu masih ada dan menjadi tarikan kerana keseluruhan strukturnya masih kukuh, namun sekarang sudah musnah dipukul ombak,” katanya.

Seorang lagi pengunjung pantai itu, Wan Hanafi Wan Ramli, 30, terkejut melihat kesan hakisan pantai yang amat serius.

“Hakisan ini berlaku sangat cepat dan dijangka akan lebih teruk, sekali gus mendatangkan kebimbangan kepada penduduk.

“Saya akan merakam gambar setiap kali datang ke pantai ini untuk lihat perbezaan keadaan sebelum dan semasa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu (SJPBT), Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, orang ramai khususnya yang tinggal di pesisir pantai dinasihatkan sentiasa berwaspada berikutan fenomena air pasang besar dan tiupan angin Monsun Timur Laut.

“Fenomena ini bukan acara pertunjukan atau pesta, jadi orang awam tidak perlu beramai-ramai ke pantai untuk menyaksikan fenomena ini pada setiap malam kerana ia berisiko,” katanya.

KEADAAN hakisan yang menyebabkan penduduk bertambah resah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Disember 2019 @ 5:40 AM