RAKAMAN gambar yang dimuat naik Syed Saddiq di Instagram. FOTO Instagram
Suraya Roslan
surayaroslan@hmetro.com.my


PELATIH pakar bedah warga Malaysia, Dr Nur Amalina Che Bakri mempertahankan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang ‘diserang’ warganet selepas penyebaran gambar Menteri Belia dan Sukan itu ketika rawatan susulan pembedahan apendisitis, baru-baru ini.

Rata-rata warganet mendakwa rakaman gambar Syed Saddiq yang menerima rawatan susulan itu ketika dilawati isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, sebagai ‘wayang’.

Sebaliknya, Dr Nur Amalina tampil memberikan penjelasan di Twitter mengatakan gambar itu tidak ada sebarang masalah, bukannya ‘wayang' seperti didakwa banyak pihak.

Syed Saddiq yang kini sedang berehat selepas menjalani pembedahan apendisitis Sabtu lalu berkongsi gambar itu di laman Instagram beliau menerima kunjungan Dr Siti Hasmah.

Dr Nur Amalina menjelaskan, sebagai pengamal perubatan dan doktor bedah yang menjadi kepakarannya, tiada apa yang salah dengan gambar berkenaan.

“Saya minta maaf, tetapi saya perlu katakan sesuatu berikutan bidang pembedahan adalah kepakaran saya. Tiada apa yang salah dengan gambar berkenaan.

“Luka apendiks perlu ditutup untuk mengelak jangkitan. BP (tekanan darah) perlu dipantau biasanya setiap empat jam jika pesakit itu stabil,” ciapnya menerusi Twitter peribadi miliknya.

Menurut Dr Nur Amalina, luka daripada pembedahan membuang apendiks perlu ditutup demi menangani sebarang risiko berlaku jangkitan yang berupaya merencatkan proses penyembuhan fizikal pesakit.

“Laparoscopic appendicectomy (pembedahan kecil bagi membuang apendiks) ialah antara pembedahan biasa.

“Ia (masalah apendiks) lazimnya bermula dengan kesakitan pada tengah abdomen sebelum berpindah ke bahagian bawah kanan.

“Pembedahan perlu dilakukan bagi mengelak sebarang jangkitan yang boleh membawa maut,” katanya sambil mendoakan Syed Saddiq supaya segera sembuh.

CIAPAN Dr Nur Amalina mempertahankan Syed saddiq di Twitter. FOTO Twitter

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Disember 2019 @ 10:25 PM