Polis sedang mengesan suspek yang mencuri beg galas jemaah di Surau Dagang Avenue, Ampang. FOTO Tular
Khairul Najib Asarulah Khan
khairul.najib@nstp.com.my


MENYAMAR sebagai jemaah dengan solat Maghrib sebelum mencuri. Itu tindakan yang dilakukan seorang lelaki sebelum melarikan beg galas jemaah di Surau Dagang Avenue, Ampang, Khamis lalu.

Bagaimanapun perbuatan itu, berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) surau berkenaan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Noor Azmi Yusoff berkata, mangsa lelaki yang juga pemandu lori itu singgah ke surau berkenaan pada 7 malam selepas menghantar barang di kawasan berhampiran.

Menurutnya, ketika ingin solat Maghrib secara berjemaah dia yang berusia 31 tahun itu meletakkan beg galas di belakangnya sebelum menyedari hilang selepas selesai menunaikan solat.

"Hasil semakan CCTV surau itu mendapati, beg galas mangsa dicuri ketika jemaah sedang sujud.

Polis sedang mengesan suspek yang mencuri beg galas jemaah di Surau Dagang Avenue, Ampang. FOTO Tular

"Akibat kejadian, mangsa kehilangan beberapa dokumen peribadi, telefon bimbit, pakaian serta sejumlah wang tunai," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Noor Azmi berkata, susulan kejadian itu pihaknya sedang giat menjejaki suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Nurhaziq Norizan ditalian 03-42524866 atau salurkan maklumat di balai polis berhampiran.

"Setiap individu dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan keadaan sekeliling dan menjaga keselamatan diri serta harta benda.

“Jangan sesekali memberi ruang dan peluang kepada penjenayah mengambil kesempatan atas kecuaian atau kelalaian kita," katanya.

Terdahulu, rakaman CCTV kegiatan suspek tular di laman sosial dan menimbulkan kebimbangan dan kemarahan dalam kalangan netizen.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Disember 2019 @ 12:47 PM