DATUK Seri Eizlan Yusof mengikat tali ikatan perkahwinan dengan Natasha Rosa Boudville di The Glass Suite Bora Ombak. FOTO Saifullizan Tamadi
Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my

MESKIPUN tidak menutup hati untuk menerima cinta baharu, pelakon Datuk Seri Eizlan Yusof pernah enggan memikirkan lagi soal perkahwinan.

Begitu pun, selepas kenal dan rapat dengan isterinya, Datin Seri Natasha Rosa Boudville, 29, sejak empat tahun lalu, hasrat mahu berkahwin semula bertandang di hati.

Justeru, selepas melamar Natasha pada September lalu, pasangan itu selamat dinikahkan di The Glass Suite, Boraombak, Marina Putrajaya pada Khamis lalu.

Mengulas majlis perkahwinannya yang mencecah kosnya jutaan ringgit, Eizlan berkata, beliau memang tidak menduga betapa rakan-rakan rapatnya yang lebih teruja dan sanggup menaja.

“Jujur dikatakan, saya tidak tahu langsung perancangan rakan-rakan yang mahu menaja majlis perkahwinan ini. Bagi saya, ia rezeki buat kami.

“Saya berbanyak terima kasih kepada semua rakan yang sanggup bekerjasama dan bertungkus-lumus meraikan majlis perkahwinan saya dan isteri,” katanya.

JURUNIKAH Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah, Kolonel Mohd Ajib Ismail menyempurnakan akad nikah Datuk Seri Eizlan Yusof bersama dengan Natasha Rosa Boudville di The Glass Suite Bora Ombak. FOTO Saifullizan Tamadi


Ditanya mengenai bulan madu, Eizlan berkata, semuanya masih dalam perancangan kerana dia dan isteri harus beri tumpuan kepada kerjaya.

“Saya akan sibuk dengan aktiviti seni dan menguruskan perniagaan, manakala Natasha akan fokus terhadap tugas sebagai kakitangan pengurusan kanan hotel di ibu kota.

“Jadi, buat masa ini perancangan untuk bulan madu belum diputuskan. Namun, kami sudah ada beberapa destinasi pilihan,” katanya.

Menurut Eizlan, apa yang pasti dia sangat bersyukur kerana segala urusan perkahwinan dan majlis resepsi dirancang berjalan lancar dan sungguh indah.

Menduda selama empat tahun, Eizlan sebelum ini pernah berkahwin dengan ahli perniagaan, Vie Shantie Khan pada 2007.

Namun, perkahwinan dibina hanya bertahan lapan tahun dan hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Vie Zara, 11, Zareef Yusof, 9, dan Vie Zaara, 6.

Sudah sedia jadi ‘ibu segera’ Memilih bernikah dengan lelaki berstatus duda tiga anak, ternyata ia keputusan ikhlas dilakukan Natasha Rosa.

Natasha berkata, hubungan yang sudah rapat dengan anak tiri membuatkan dia bersedia menjadi ibu segera.

“Paling utama, penerimaan baik mereka terhadap saya. Malah, syukur hubungan kami sangat baik dan rapat sebagai satu keluarga.

“Menjadi ibu segera bukan masalah kepada saya. Ini kerana, paling penting saya dan anak-anak boleh serasi bersama,” katanya.

Ditanya mengenai sikap Eizlan yang berjaya menambat hatinya, Natasha berkata, suaminya seorang yang kelakar dan suka berjenaka.

“Saya selesa dengan Eizlan. Kami juga serasi. Sepanjang bercinta, saya dapati dia bapa yang penyayang,” kata Natasha.

Fasih berbahasa Melayu dan Inggeris, Natasha berketurunan Serani dan memeluk Islam pada Ogos tahun lalu.

Majlis resepsi Eizlan dan Natasha berlangsung di Ballroom, Boraombak Marina Putrajaya pada Jumaat lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Disember 2019 @ 5:01 AM