DA Sylva peledak baharu TFC ganti Kipre yang berkelana bersama Lang Merah.
Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Tiga pasukan Liga Super iaitu Selangor, Kedah dan Terengganu sudah mula mengorak langkah sejak awal bulan lalu apabila masing-masing membuat pembelian pemain berstatus bintang selain melabur bagi memperkuatkan lagi pasukan mereka.

Tanpa berselindung, mereka meletakkan sasaran tinggi iaitu mahu mencabar juara Liga Super dan Piala Malaysia musim lalu, Johor Darul Ta’zim (JDT) selain menyusun kembali program pembangunan akar umbi, sistem kejurulatihan dan strategi bagi memastikan tidak lagi berputih mata kepada skuad Harimau Selatan.

Juara Piala FA dan naib juara Piala Malaysia, Kedah sejak awal lagi sudah memborong pemain dan sudah mengumumkan senarai pemain bagi musim 2020.

Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Asmirul Anuar Aris berkata, pihaknya meletakkan sasaran sekurang-kurangnya layak ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan memenangi Liga Super 2020.

Beliau berkata, enam pemain baharu tempatan dibawa masuk iaitu bekas penyerang Felda United Hadin Azman, Irfan Zakaria, Shahril Shaari, Jafri Chew, Zulkhairi Zulkifli, dan Tam Sheang Tsung.

“Penjaring terbanyak Liga Super musim lalu, Kpah Sherman dan bekas penyerang Terengganu FC, Kipre Tchetche pula adalah dua pemain import baharu pasukan Helang Merah.

“Bajet RM23 juta hingga RM25 juta diperuntukkan untuk musim depan bagi menguatkan lagi pasukan dan perbaiki kelemahan yang ada,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, di sini, semalam.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Dr Johan Kamal Hamidon berkata, skuad Gergasi Merah hanya membawa masuk tiga pemain baharu iaitu bekas tonggak Perak, Brendan Gan, pemain Singapura, Safuwan Baharudin serta Nicholas Ryan Swirad yang sebelum ini bersama PKNS.

“Kami tidak berbelanja besar dalam mendapatkan pemain cuma mengambil pemain mengikut kehendak barisan kejurulatihan dan keperluan pasukan.

“Sudah tentu dengan adanya pasukan feeder dapat menguatkan lagi pasukan utama seterusnya memberi saingan lebih kompetitif kepada penyandang juara iaitu JDT,” katanya, di sini.

Sementara itu, skuad Terengganu pula tidak mahu kalah apabila sudah memuktamadkan barisan pemain iaitu membawa masuk bekas penyerang kelab Sai Gon dalam Liga Vietnam, Dominique Da Sylva serta pemain sayap kelahiran Singapura, Faris Ramli dan terbaharu pemain pertahanan dari Senegal, Babacar Diallo.

Jelas naib juara Piala Malaysia 2018 itu tidak mahu lagi terus kempunan mengecapi kejayaan dan mahu memastikan tampil lebih meyakinkan pada musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Disember 2019 @ 5:30 AM