Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
am@hmetro.com.my


PARIT BUNTAR: “Saya berjaya masuk ke dalam rumah selepas memecah pintu dapur dan terus ke tingkat atas kerana menyangka tok ada di atas.

“Ketika itu, masih dengar suara mereka meminta tolong namun saya gagal menemui mereka kerana asap terlalu tebal dan api terlalu marak,” kata Nazri Musa, 24, cucu saudara dua warga emas yang maut dalam kebakaran di Kampung Sungai Betul Bawah, Tanjung Piandang di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 1.45 pagi itu, mangsa yang maut adalah Aisyah Din, 80, dan adiknya Ida, 56, yang juga orang kurang upaya (OKU).

Dengan nada terkilan, Nazri berkata, dia sebelum itu cuba memecahkan pintu utama namun pintu jeriji luar dan pintu dalam berkunci.

“Selepas gagal menemui mereka di tingkat atas saya terpaksa berlari keluar rumah kerana keadaan semakin bahaya.

“Terkilan rasanya kerana gagal menemui dan menyelamatkan tok,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Nazri berkata, tragedi itu memberi kesan mendalam dan trauma kepadanya kerana 10 tahun dulu rumahnya turut terbakar dan kali ini nenek saudaranya pula yang menjadi korban kebakaran.

Seorang lagi saksi, Shahana Din, 45 yang juga anak saudara wanita terbabit berkata, dia tinggal bersebelahan rumah ibu saudaranya dan bergegas membantu.

“Saya bersama jiran-jiran berdekatan cuba membantu mereka namun tidak berdaya.

“Dalam suasana panik itu kedengaran suara jeritan meminta pertolongan dan ia masih lagi jelas bermain di telinga saya.

“Saya yakin mereka cuba menyelamatkan diri untuk keluar melalui pintu utama dan sudah pasti saya terkilan tidak dapat menyelamatkan mereka,” katanya.

Menurutnya, ibu saudaranya iaitu Aisyah hanya mampu berjalan menggunakan tongkat manakala Ida pula adalah OKU, yang mengalami masalah ketumbuhan di bahagian kepala dan tidak mampu melihat jelas, malah pergerakannya juga terbatas.

Katanya, mayat kedua-dua dihantar ke Unit Forensik Hospital Parit Buntar untuk dibedah siasat.

Mayat dikebumikan di Tanah Perkuburan Surau Parit Lintang di sini, petang semalam.

Sementara itu Pegawai Khas Parlimen Parit Buntar, Hamdan Fadeel Ahmad berkata, pihaknya bersimpati dengan kejadian itu dan akan mendapatkan bantuan sesuai bagi membantu keluarga berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Disember 2019 @ 6:30 AM