ANGGOTA bomba menjalankan operasi mencari pemuda Orang Asli yang dilaporkan hilang. FOTO ihsan bomba
Rizanizam Abdul Hamid
mrizanizam@hmetro.com.my


PEMUDA Orang Asli yang dilaporkan hilang di Empangan Jus Batang Melaka, Jasin, 5 Disember lalu ditemui selamat dengan berjalan pulang ke rumahnya di Sungkai, Perak, iaitu 296 kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Mispani Hamdan berkata, pemuda berusia 23 tahun dari Suku Kaum Temiar itu dilaporkan selamat tiba di rumahnya pada kira-kira 6 petang, 8 Disember lalu, dua hari selepas operasi mencari dan menyelamat (SARS) dilakukan pihak berkuasa 6 Disember lalu.

“Pemuda berkenaan juga dilaporkan berkaki ayam ketika tiba di rumahnya di Sungkai dengan berjalan pulang melalui trek hutan dan jalan raya dari Melaka ke Perak.

“Difahamkan, ini juga bukanlah kali pertama dia dilaporkan hilang dan dalam kejadian terbaru ini, dia dilaporkan selamat tiba di rumahnya tanpa sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

6 Disember lalu, Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri menerima laporan kehilangan pemuda Orang Asli itu sebelum menggerakkan operasi SAR mengesan buruh binaan itu.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Soon We Kiang berkata, laporan kehilangan diterima daripada rakan pemuda itu.

“Rakannya memberitahu buruh binaan itu datang ke empangan untuk melakukan kerja penyelenggaraan dan dipercayai hilang ketika hendak buang air kecil.

“Pada hari kejadian, seramai 37 orang menyertai operasi SAR membabitkan bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.

Semakan di google maps mendapati, jarak dari Empangan Jus Batang Melaka ke Sungkai ialah 296km jika menaiki kenderaan melalui Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) yang memakan masa selama empat jam 21 minit.

Jika berjalan kaki tanpa rehat, ia memakan masa perjalanan antara 55 hingga 59 jam atau dua hari setengah dengan jarak perjalanan 266km hingga 287km.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Disember 2019 @ 2:28 PM