SYED Saddiq (depan, tengah) bersama Koi Sie Yan (belakang, tengah) dan Izzah Amzan (belakang, kiri) ketika memenangi pingat Emas dalam acara Gimrama Kategori Riben Wanita Akhir pada Sukan SEA Manila 2019 di Kompleks Sukan Rizal Memorial.
Firdaus Hashim dan Iskandar Shah Mohamed
firdaushashim@hmetro.com.my


MANILA: “Pulangkan emas kami.” Itu amaran yang diberikan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria kepada Jawatankusa Penganjur Sukan Sea Filipina (PHISGOC) yang menarik semula pingat emas dimenangi atlet gimrama negara, Izzah Amzan dalam aparatus riben yang berlangsung Sabtu lalu.

Jelas Norza, sekiranya PHISGOC berdegil untuk tidak memulangkan semula emas itu, beliau tidak teragak-agak untuk memanjangkan isu berkenaan ke peringkat Persekutuan Sukan Sea (SEAGF).

Katanya, tindakan itu tidak seharusnya berlaku kerana sebarang perubahan atau bantahan perlulah dilakukan sebelum majlis penyampaian pingat berlangsung.

“Apabila saya diberitahu berita ini malam tadi saya sudah bercakap dengan Ketua Pegawai Operasi PHISGOC, Ramon Suzara dan mengatakan yang kita tidak gembira dengan perkara ini. Pertama adalah kerana apa saja bantahan atau perubahan dari segi pingat perlu dilakukan sebelum majlis penyampaian pingat.

“Majlis penyampaian pingat sudah pun diadakan penganjur dan menekankan yang atlet kita mengutip mata yang sama dan seharusnya mendapat emas. Ini juga berasaskan perkara yang berlaku ketika saya menjadi ketua kontinjen pada edisi 2015 di Singapura. Perkara sama berlaku dan pihak penganjur memberi kedua-dua emas (yang dimenangi) itu.

“Namun, apa yang berlaku ini sangat mengecewakan dan untuk berlaku adil kepada kedua-dua atlet, emas itu perlu dipulangkan semula,” katanya ketika ditemui pada upacara penyampaian pingat acara badminton di Kompleks Sukan Muntinlupa, semalam.

Terdahulu, kontinjen negara menerima tamparan selepas emas dimenangi secara Izzah dalam acara riben, Sabtu lalu ditarik balik biarpun diumum sebagai pemenang bersama dengan rakan senegara, Koi Sie Yan.

Sebaliknya, Izzah sekadar diberikan perak berdasarkan kedudukan pingat terbaru yang disiarkan di laman web rasmi Sukan SEA 2019 Filipina.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyifatkan keputusan itu sebagai tidak masuk akal.

“Di atas nasihat penganjur, saya sendiri yang kalungkan pingat emas Izzah. Mengikut Teknikal Handbook (Buku Teknikal) penganjur pun, membenarkan pingat emas Izzah.

“I will not tolerate this (saya tidak bertolak ansur mengenainya). Team MAS (Malaysia) sudah protest (membantah) dan tuntut keadilan.

“Mereka dah beri, sekarang nak tarik balik? Tidak masuk akal,” tulis Syed Saddiq menerusi ciapan di akaun Twitter miliknya, semalam.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Disember 2019 @ 5:30 AM