NUR Aisyah Alyaa menyertai Muay Thai sejak dua tahun lalu dan penampilan berhijab tidak menghalangnya bergiat aktif. FOTO ihsan Mohd Shaid Samsuri.
Redzuan Muharam
redzuan.muharam@hmetro.com.my


USIANYA baru 13 tahun, namun minat dan keberanian mendorong Nur Aisyah Alyaa Mohd Shaid menceburi sukan Muay Thai sejak dua tahun lalu.

Malah, penampilannya berhijab tidak sedikitpun menghalang Nur Aisyah aktif dan turut serta dalam kejohanan walaupun sukan itu lebih sinonim dengan lelaki.

Bercerita mengenai pembabitannya dalam sukan lasak itu, Nur Aisyah mengakui tertarik untuk menceburi Muay Thai selepas melihat aksi peserta sewaktu mengikut ayahnya, Mohd Shaid Samsuri, 43, ke pusat gimnasium di Rembau, Negeri Sembilan.

“Selain minat, tujuan saya menyertai sukan ini adalah mempelajari seni mempertahankan diri dan penyertaan saya atas galakan keluarga terutama ayah.

“Selepas menjalani latihan secara konsisten, ayah membawa saya menyertai kejohanan dan pengalaman pertama adalah mewakili kelab untuk peringkat kebangsaan di Kuala Lumpur.

“Saya berasa gementar sangat ketika itu kerana kali pertama beraksi di gelanggang dengan peninju berpengalaman, tetapi bersyukur selepas meraih tempat ketiga dalam kejohanan itu,” katanya ketika ditemui pada sidang media Rentap Night di Kompleks Muhibbah Tamah Nirwana, Ampang, baru-baru ini.

NUR Aisyah Alyaa (berdiri dua dari kanan) bersama peserta yang akan bersaing dalam kejohanan Rentap Night pada 14 Disember depan. FOTO Mohd Shaid Samsuri.

Anak kedua daripada empat beradik itu berkata, sepanjang aktif dalam sukan berkenaan, pelbagai pengalaman dilalui antaranya lebam di bahagian mata ketika bertanding.

Katanya, kecederaan adalah risiko bakal dihadapinya sebagai peninju Muay Thai, tetapi tidak sedikitpun mematahkan semangatnya untuk terus beraksi di gelanggang.

“Muay Thai sukan lasak dan kadang-kala, kita perlu berhadapan dengan lawan agresif serta jauh lebih berpengalaman.

“Sebagai pemain, saya perlu sentiasa bersedia tetapi ayah ada berpesan supaya sentiasa menjaga batas, imej dan maruah sebagai gadis bertudung walaupun bermain sukan lasak.

“Buat masa ini, saya dapat membahagikan masa dengan pelajaran kerana hanya menjalani latihan sehari atau dua hari dalam seminggu, kebiasaannya bermula Jumaat,” katanya.

Berkongsi perkembangan terkininya, Nur Aisyah berkata , dia bakal menyertai kejohanan Rentap Night pada 14 Disember depan dan kini giat menjalani latihan di bawah bimbingan jurulatihnya, Abdul Rifaat Abd Karim daripada Kelab Muay Thai Hardfighter.

“Ini kali pertama saya menyertai kejohanan berkenaan dan bakal bersaing dalam kategori bawah 14 tahun.

“Menang itu bonus tetapi apa yang penting adalah pengalaman ditimba dalam kejohanan berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Teknikal Rentap Night, Fairul Ezly Ramli berkata, sebanyak lapan regu profesional dan dua regu pilihan bersaing dalam kejohanan berkenaan bagi merebut gelaran juara pada kejohanan di Kompleks Muhibbah, Taman Nirwana itu.

Beliau berkata, pertandingan itu akan dijalankan mengikut sistem kalah mati dengan mempertandingkan tujuh piala kejuaraan iaitu Piala Timbalan Perdana Menteri, Piala Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Piala Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan penaja lainnya.

“Program ini menyaksikan penyertaan belia berumur lingkungan 18 tahun ke atas yang mewakili Kelab Muay Thai sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

“Setiap perlawanan akan dijalankan sebanyak lima pusingan dengan setiap satunya pusingan berlangsung selama lima minit.

“Menariknya, ia bukan saja membabitkan lelaki dan pemain berpengalaman, malah remaja perempuan termasuk Nur Aisyah turut bersaing dalam kejohanan itu nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Disember 2019 @ 8:11 PM